SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan UMNO akan bangkit semula dengan lima hala tuju baharu bagi membolehkan parti itu bergerak terus ke hadapan.
Ahmad berkata, hala tuju itu digariskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
Menurutnya, Ahmad Zahid mengulas semula ucapan itu dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan pada Jumaat.
"Selain itu, MKT UMNO malam tadi turut memutuskan persidangan tahunan cawangan akan berlangsung pada Februari, manakala peringkat bahagian pada Mac. Kedua-dua peringkat persidangan melibatkan pemilihan.
"Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 Februari (Rabu) hingga 26 Februari 2023 (Ahad) iaitu selama 26 hari," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu.
Ahmad Zahid menggariskan lima hala tuju baharu bagi membolehkan parti bergerak ke hadapan, sesuai dengan perubahan sikap, pemikiran dan landskap politik negara.
Hala tuju pertama adalah menjalin kerjasama strategik dengan mewujudkan persefahaman dengan rakan-rakan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan dalam mendepani realiti politik baharu, manakala kedua adalah menyegarkan parti dengan pemugaran idea serta pengkaderan yang efektif, sesuai dengan perubahan minda serta keutamaan rakyat.
Ketiga pula merujuk kepada keperluan untuk melabur dalam teknologi dan komunikasi masa hadapan bagi memastikan parti tidak ketinggalan dalam kecanggihan serta kepantasan perhubungan kerana UMNO mesti menguasai teknologi semasa dan terkini sebagai saluran penyampaian, melampaui wadah media sosial sekarang.
Sementara itu, hala tuju keempat melibatkan gerakan merombak gerak kerja jentera parti secara konvensional kepada pendekatan berasaskan data dan analisis di semua peringkat struktur parti, sesuai dengan demografi pengundi dan psikografik rakyat yang melibatkan kajian keperibadian, nilai, pendapat, sikap, minat dan gaya hidup.
Bagi hala tuju kelima, parti mesti menggilap dan mengetengahkan muka-muka baharu sebagai wajah hadapan parti selain usaha meningkatkan kualiti ahli serta menggilap potensi mereka untuk mewarisi kepimpinan parti dan negara perlu sentiasa berjalan.
Tambah Ahmad, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan ExcoPergerakan Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023 (Sabtu).
"Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac 2023," ujarnya.
Beliau juga memaklumkan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Ab Samad dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023 (JPU 2023).
ARTIKEL BERKAITAN: Tidak tunduk dipecat daripada UMNO: KJ
ARTIKEL BERKAITAN:Keputusan Presiden, MKT lemahkan kebangkitan UMNO
ARTIKEL BERKAITAN:UMNO pecat KJ, Hishammuddin dan Shahril digantung keahlian
ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] UMNO gantung keahlian Noh Omar
ARTIKEL BERKAITAN:Noh Omar dipecat selepas pertikai penggantungannya
ARTIKEL BERKAITAN:Noh hadir mesyuarat MKT UMNO
ARTIKEL BERKAITAN:Pas Selangor terbuka terima Noh, ahli UMNO
ARTIKEL BERKAITAN:Pembersihan bebaskan UMNO dari 'gunting dalam lipatan'
ARTIKEL BERKAITAN:Pembersihan UMNO: 'Jangan pecat bekas pemimpin'