Disangka ada bom rupanya beg baju gelandangan

Iklan
Beg mencurigakan itu ditemui pasukan URB yang sedang membuat rondaan di kawasan terbabit. - Foto PDRM

SUBANG JAYA - Penemuan sebuah bagasi berkunci yang ditinggalkan di kawasan stesen transit aliran ringan (LRT) SS17, di sini bertukar suasana gempar apabila Unit Pemusnah Bom (UPB) terpaksa dihubungi untuk membuat pemeriksaan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, penemuan bagasi yang mencurigakan itu dilaporkan sekitar jam 4.05 petang oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang bertugas.

Iklan
Iklan

"Setelah dimaklumkan penemuan tersebut, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah meminta bantuan UPB untuk memeriksa beg yang berantai dan berkunci berkenaan.

Pemeriksaan beg disaksikan oleh pemilik beg didapati mengandungi pakaian dan barang peribadi miliknya serta tiada barangan menyalahi undang-undang.- Foto PDRM

"Lebih kurang 30 minit kemudian, bantuan dari pihak UPB terpaksa dibatalkan kerana seorang lelaki tempatan berumur lebih kurang 50 tahun telah datang menuntut dan menyatakan beg berkenaan miliknya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Wan Azlan berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit merupakan gelandangan yang sentiasa berpindah-randah dari satu tempat ke tempat yang lain.

"Pihak polis menasihati orang ramai jika menjumpai beg atau bungkusan yang mencurigai supaya terus menghubungi pihak polis bagi tujuan keselamatan," ujar beliau.

Iklan

Katanya, kes diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).