KAJANG - Ragad Foundation akan mengagihkan 52,000 helai tudung sarung kepada petugas barisan hadapan dan pelajar sekolah.
Pengarah Program dan Kempen Ragad Foundation, Iila Ruzaini Hussain berkata, pengagihan itu dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara dalam tempoh dua bulan ini.
"Pengagihan tudung ini dilaksanakan dengan kaedah bergerak dari satu tempat ke satu tempat di Sarawak bermula pada Rabu ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Penyerahan Tudung di Aimanjie Distribution Center Kawasan Perindustrian Bukit Angkat di sini pada Jumaat.
Sebanyak 52,000 helai tudung sarung disumbangkan Helping Shoulder kepada Ragad Foundation pada majlis itu.
Iila Ruzaini berkata, program itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ragad untuk terus aktif dan sebagai medan terbaik untuk mendekati kumpulan sasaran.
"Pelajar misalnya mereka tidak dapat hadir ke sekolah dan terpaksa mengikuti pembelajaran secara dalam talian semasa kes Covid-19 meningkat," ujar beliau.
Jelas Iila Ruzaini, Ragad Foundation turut berterima kasih kepada rakan strategik, Yayasan Al Manjie yang sentiasa menyokong dan membantu usaha murni tersebut.
Ujarnya, yayasan itu menyediakan tempat penyimpanan dan pengumpulan barang sumbangan selain perkhidmatan logistik untuk penghantaran dan pengagihan kepada mereka memerlukan.
Selain itu, ujarnya, beberapa inisiatif ingin dilaksanakan bagi membantu penduduk terutama golongan B40.
"Kita sedang mencari masa sesuai melancarkan baucar makanan dan minumam RM1 kepada golongan B40.
"Melalui inisiatif ini, golongan B40 yang menerima baucar boleh singgah di mana-mana kedai makan terpilih untuk menjamu selera dengan permulaan projek perintis ini di Sarawak," katanya.