PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi melakar sejarah di Amerika Syarikat (AS) apabila mencipta rekod baharu acara 60 meter (m) dalam dewan di Texas awal pagi Sabtu.
Pelari berusia 19 tahun itu mencatat masa 6.63 saat (s) pada pusingan pertama Kejohanan Olahraga Terbuka Universiti Texas Tech di Pusat Kecemerlangan Prestasi Texas Tech.
Catatan itu memadam rekod lama kebangsaan, 6.66s yang dibuat Watson Nyambek 24 tahun lalu dalam Kejohanan Olahraga Dunia Dalan Dewan IAAF di Jepun pada tahun 1999.
"New national record! (Rekod kebangsaan baharu!), Alhamdulillah," tulis Azeem menerusi Instagramnya.
Dalam kejohanan berkenaan, Azeem menamatkan pusingan kelayakan di tempat kelima dengan masa 6.72s.
Pemegang rekod 100m negara itu kemudian melakukan catatan 6.63s pada pusingan pertama untuk berada dalam senarai lapan peserta terbaik.
Di pentas final, Azeem yang mewakili Universiti Auburn meraih podium pertamanya apabila memenangi pingat perak selepas mencatat masa 6.65s.
Pingat emas dimenangi Micah Williams dari Universiti Oregon dengan catatan 6.49s, manakala gangsa menjadi milik pelari Universiti Louisiana, Rodney Heath Jr. menerusi masa 6.67s.