SEPANG - Perjalanan pulang tujuh pekerja Kargo KLIA menjadi cemas gara-gara bas dinaiki mengalami masalah brek dan mengundur ketika mendaki bukit di Jalan Kampung Baru Lanjut, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sejurus tiba di lokasi sekitar 9.58 malam, bas yang dalam perjalanan menuju ke Sepang Lama berkenaan telah gagal dikawal sebelum terbabas.
Iklan
Iklan
"Semasa melalui Jalan Kampung Baru Lanjut berhampiran Taman Salak Suria yang mana jalannya agak mendaki, tiba-tiba brek bas jenis Isuzu berkenaan tidak berfungsi dengan baik.
"Bas dipandu lelaki tempatan berusia 61 tahun terbabit telah mengundur sebelum terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebatang tiang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun, Wan Kamarul berkata, kesemua penumpang dan pemandu terselamat tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Menurutnya, bas terbabit mengalami kerosakan di bahagian bumper hadapan dan belakang serta kerosakan di bahagian kiri kenderaan.
"Pemandu bas berkenaan telah dirakam percakapan dan tindakan saman telah diambil terhadap pemandu terbabit di bawah kesalahan Rule 10 LN 166/59," ujarnya.