KUALA TERENGGANU -"Saya jadikan menderma darah sebahagian daripada aktiviti dakwah," demikian kata Sarjan Mejar Mat Ali Mat Daling, 56.
Mat Ali yang kini bertugas di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu berkata, dia mula menjadi penderma darah sejak berusia 19 tahun lagi dan hari ini merupakan kali ke 31 dia menderma.
"Saya tergerak hati untuk menderma darah kerana ingin jadikan sebagai salah satu cara berdakwah disebabkan saya tidak pandai berceramah atau berdakwah cara lain.
"Selain itu, saya memilih menderma dengan cara ini kerana hendak menderma harta benda, saya tidak mampu, jadi, saya ikhlas menjadi penderma darah sehingga hari ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui dalam Program Kesihatan (Derma Darah) Kontinjen Terengganu di Dewan Redang, di sini semalam.
Menurut pemilik darah jenis O positif ini, dia bersemangat untuk menjadi penderma darah seperti arwah ayahnya, Mat Saling Mat Saman yang juga seorang bekas anggota polis.
"Arwah ayah memang seorang penderma darah dan seingat saya, arwah jarang melepaskan peluang untuk menderma darahnya.
"Mungkin disebabkan itulah, 'semangat' yang ada pada arwah mengalir dalam badan saya sehingga kini," katanya.
Katanya, dia suka menderma darah kerana selepas sahaja proses menderma, tubuh badannya akan terasa lebih segar selain dapat mengurangkan tekanan emosi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika ditemui berkata, program tahunan yang diadakan sempena Peringatan Hari Polis ke-212 sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha untuk memasyarakatkan polis.
"Setiap tahun kita sasarkan untuk mendapatkan 80 beg bekalan darah setiap kali program derma darah dianjurkan.
"Cuma tahun ini, saya turut mengumumkan supaya program ini diadakan dua kali setahun dan sudah mengarahkan pihak pengurusan untuk menganjurkannya mengikut kesesuaian masa.
"Ia sebagai salah satu CSR yang dijalankan untuk membantu meningkatkan bekalan darah di Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya.