KUALA LUMPUR - DAP menyerahkan kepada parti dalam Pakatan Harapan (PH) sekiranya bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu menyertai mereka.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, mereka seharusnya tidak membuat keputusan terburu-buru berkenaan perkara tersebut.
"Mereka (pemimpin UMNO yang dipecat) belum menyatakan hasrat. Jadi kita tidak payah buat keputusan terburu-buru.
"Kalau ada sesiapa yang ada permohonan, parti masing-masing akan pertimbangkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memutuskan memecat bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Khairy kerana pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain selama enam tahun iaitu Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.
Turut mengalami nasib sama adalah ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.
Anthony menambah, tidak perlu untuk mereka membuat jemputan terbuka bagi menyertai mana-mana parti kepada pemimpin UMNO yang dipecat.
"Saya yakin mereka tahu apa yang bagus untuk mereka,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Pengangkutan turut mengulas mengenai LRT laluan Ampang/Sri Petaling yang mengalami kelewatan pagi Jumaat disebabkan keretakan tiang utama berhampiran Stesen Bandaraya.
Anthony berkata, pihaknya menunggu laporan daripada pakar dan jurutera berkenaan perkara itu.
"Semalam dan hari ini kita menunggu laporan daripada pakar dan jurutera untuk melihat sejauh mana struktur itu memberikan kesan dari segi keselamatan sama ada ia selamat untuk kita beroperasi semula,” ujarnya.