KOTA MARUDU - Menaik taraf kemudahan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan menyediakan makanan sedia dimakan menggunakan pek 'retort' merupakan fokus utama kerajaan dalam menambah baik keperluan mangsa banjir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kebanyakan PPS sedia ada menggunakan dewan orang ramai dan sekolah yang masing-masing mempunyai kekangan tersendiri.
Sehubungan itu, beliau berkata, usaha menambah baik kemudahan tersebut terutama melibatkan tandas dan bilik air sentiasa dilakukan, manakala untuk jangka masa panjang kerajaan bercadang membina bangunan PPS kekal di beberapa kawasan berisiko tinggi banjir di negara ini.
"Dewan kita lihat luas untuk dijadikan PPS tetapi ada pula isu kemudahan tandas dan bilik air, manakala sekolah ada kemudahan itu semua tetapi kita tidak mahu pula ganggu sesi pembelajaran. Jadi, semua perkara ini kita sedang lihat dan cari penyelesaian terbaik.
"Secara asasnya, kerajaan setuju bina PPS kekal dan sedang bincang perinciannya, kita buat penelitian di kawasan 'hotspot' banjir seperti negeri ini di Kota Marudu, Pitas dan Beaufort,” katanya pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek, di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Armizan kerajaan juga melaksanakan usaha penyediaan makanan sedia dimakan menggunakan pek 'retort' pada musim Monsun Timur Laut kali ini bagi makanan berkualiti dan lebih cepat kepada mangsa banjir.
"Kita mahu makanan pek 'retort' ini menjadi makanan pertama yang diberikan kepada mangsa banjir di PPS. Di Sabah tahun ini kita mula projek rintis dan setakat ini kita telah edarkan lebih 2,400 pek untuk mangsa banjir.
"Bagaimanapun, masih terdapat beberapa kekurangan yang kita sedang tambah baik antaranya pek itu hanya sampai pada hari kedua, ini membuatkan gagal capai matlamat untuk menjadikannya makanan pertama mangsa banjir. Selain itu, isu logistik iaitu pek ini perlu dibawa dari Semenanjung untuk ke Sabah dan Sarawak juga sedang kita atasi,” katanya.
Menurutnya selain mempunyai jangka hayat lebih lama iaitu setahun, makanan pek ini mudah disediakan tanpa perlu operasi memasak yang besar sekali gus dapat menjaga kebersihan di PPS.
Dalam pada itu, Armizan berkata persediaan telah dilakukan oleh semua agensi terlibat bagi menghadapi luruan monsun kali ini yang dijangka berlanjutan hingga 4 Februari ini dan bertumpu di timur Semenanjung serta Sabah.
"Pada masa ini usaha kita adalah memberi bantuan dan kemudahan kepada mangsa banjir, selepas monsun ini beransur reda kita akan mula meneliti dan melaksana pelbagai perancangan untuk tambah baik seperti fokus prasarana PPS dan pek 'retort' itu tadi,” katanya. - Bernama