KLUANG - UMNO Bahagian Sembrong akan menyatakan pendirian berhubung penggantungan keahlian selama enam tahun membabitkan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam sidang akhbar yang dijangka diadakan pada Ahad.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Abd Ghani Abd Rashid berkata, sidang akhbar berkenaan akan berlangsung selepas mesyuarat khas UMNO Bahagian Sembrong.
"Esok saya akan panggil satu mesyuarat khas UMNO Bahagian Sembrong. Selepas mesyuarat sekitar jam 5 petang, kami akan buat sidang akhbar.
"Dalam pada sidang akhbar itu nanti, kenyataan akan dikeluarkan oleh bekas Setiausaha Akhbar, Datuk Seri Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda UMNO Sembrong, Hafiz Ariffin," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Bagaimanapun, Abd Ghani berkata, mesyuarat khas dan sidang akhbar tersebut tidak akan hadiri Hishammuddin kerana difahamkan beliau berada di luar negara.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Jumaat akhirnya memberikan kepastian berhubung kedudukan beberapa pemimpin nama besar di dalam parti tersebut.
Dua pemimpin diumumkan dipecat pada Jumaat ialah bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Dalam pada itu, UMNO turut mengumumkan penggantungan selama enam tahun beberapa pemimpinnya termasuk Hishammuddin dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.
Parti itu turut mengambil keputusan memecat lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO dari Pahang.