Sebak dapat tajaan tunai umrah

Iklan
Seramai 24 peserta termasuk kakitangan YBK terpilih Majlis Ramah Mesra Program Khairat Umrah YBK 2023 pada Sabtu.

KELANA JAYA - Seorang penggali kubur tidak menyangka dapat menunaikan umrah di Tanah Suci apabila mendapat tajaan dari Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Suliman Ahmad, 65, berkali-kali mengesat air matanya dan menahan sebak apabila mengetahui dirinya menjadi salah seorang dari 20 peserta yang terpilih mendapat tajaan tersebut.

Iklan
Iklan

Warga emas itu memberitahu, dia tidak boleh tidur malam kerana masih terkejut dengan tawaran tersebut kerana beranggapan kesusahan hidup dihadapinya itu agak mustahil untuk mengerjakan umrah di Makkah, Arab Saudi.

"Khidmat bakti selama ini saya lakukan dengan ikhlas dan Alhamdulillah, ALLAH memberi rezeki dengan menjemput saya menjadi tetamu di Tanah Suci, tiada yang mustahil dengan kuasa dan pertolongan dari ALLAH," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Program Khairat Umrah YBK 2023, di sini pada Sabtu.

Iklan
Suliman (kanan) bersama Zainal (dua dari kanan) pada Majlis Ramah Mesra Program Khairat Umrah YBK 2023.

Tambahnya lagi, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk pergi menunaikan umrah di tanah suci namun disebabkan tidak berkemampuan dari segi kewangan, maka hasrat itu terpaksa ditangguhkan.

"Lebih istimewa apabila tarikh saya akan berangkat ke sana jatuh pada hari jadi saya.

Iklan

"Saya akan menyambut ulang tahun kelahiran ketika berada di Tanah Suci. Alhamdulillah, ini adalah hadiah paling istimewa dalam hidup saya," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pengurus jenazah, Sariah Kaulan, 67, turut melahirkan rasa terharu dan sebak kerana menerima tajaan untuk menunaikan umrah.

Sariah (kiri) menerima sumbangan dari YBK.

"Saya masih tidak percaya dan betul ke saya terpilih. Sejak itu saya menangis kerana tidak sangka dengan pekerjaan memandikan jenazah selain tidak mampu dari segi kewangan akhirnya dipilih untuk menjadi tetamu ALLAH di tanah suci.

"Selama ini saya tidak pernah mengenakan bayaran untuk setiap urusan memandikan jenazah di kawasan sekitar Sungai Manggis, Banting, Selangor dan niat saya hanya kerana ALLAH. Alhamdulillah, rezeki saya diberi peluang untuk ke sana," ujarnya dengan nada sebak.

Sariah juga sudah lama menyimpan hasrat untuk ke Tanah Suci apabila mula menyimpan duit sejak beberapa tahun lalu, namun disebabkan kenaikan kos umrah pada masa ini menyebabkan dia tidak berkemampuan untuk merealisasikan hasratnya itu.

Sementara itu, Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, seramai 24 peserta termasuk kakitangan YBK terpilih untuk menunaikan umrah dengan bertolak ke Tanah Suci pada 10 Februari ini.

"Program ini bertujuan menaja dan memberi peluang kepada aktivis-aktivis masyarakat tidak didendang seperti penggali kubur, pengurus jenazah, bidan, siak dan sebagainya.

"Kita menetapkan pemilihan individu terpilih 10 orang setiap tahun namun disebabkan pandemik Covid-19 maka tahun ini kita membawa 20 orang menunaikan umrah," ujarnya.

Jelasnya, kriteria pemilihan tajaan itu berdasarkan individu yang tidak ada peluang untuk tunai umrah kerana tidak berkemampuan dari segi kewangan, asnaf selain mempunyai sumbangan khidmat bakti kepada masyarakat.