KOTA BHARU - Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Saidi Md Nor, 60, meninggal dunia di sebuah masjid di Jerteh, Terengganu pada Jumaat.
Allahyarham dikatakan rebah ketika sedang sujud pada rakaat pertama solat Maghrib.
Isteri Allahyarham, Wan Zatusy Syamami Wan Abdullah, 42, berkata, ketika itu beliau berada di dalam kereta yang diparkir dalam kawasan masjid.
"Saya terkejut selepas dimaklumkan oleh anak seorang rakan lalu bergegas memasuki ruang solat dan mendapati ada individu yang juga seorang doktor cuba memberi bantuan pernafasan," katanya di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun katanya, selepas itu suaminya dihantar ke Hospital Jerteh (HJ) Terengganu untuk rawatan lanjut tetapi doktor mengesahkan Saidi meninggal dunia.
Tambahnya, Allahyarham pernah menghidap sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis tetapi keadaan itu stabil selepas mendapat rawatan.
Wan Zatusy Syamami memberitahu, mereka dalam perjalanan pulang dari kolam air panas di Jerteh dan singgah solat di masjid itu.
"Ketika itu dia tidak sihat dan mengalami sakit badan serta selesema. Kami berada di situ kira-kira dua jam sebelum bertolak pulang," katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kale Petah, Selor, Kampung Kubang Siput kira-kira jam 7 pagi Sabtu.