Pusat Kusta Negara dicadang Tapak Warisan Unesco

Iklan

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang dalam proses permohonan untuk menjadikan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang kelima di Malaysia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohammadin Ketapi berkata PKKN kini berada dalam senarai 'tentative' yang telah dihantar ke Unesco pada 17 Januari lepas serta mula dipaparkan di laman webnya pada 12 Februari lalu.

Iklan
Iklan

"Pihak kami komited dalam mengangkat PKKN sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan seterusnya ke peringkat dunia.

"Pencalonan PKKN sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco akan memberi sinergi tambahan kepada industri pelancongan negara sekiranya pengiktirafan itu diperolehi kelak," katanya dalam ucapan perasmian Pameran Hope: Cerita Dari Lembah Harapan di Balai Seni Negara di sini, semalam.

Iklan

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) kementerian itu Saraya Arbi.

Mohammadin berkata PKKN yang dibina pada 1930 menjadi pusat rawatan kusta kedua terbesar di dunia selepas Culion Leprosarium di Filipina yang turut menyimpan seribu satu kisah pesakit kusta.

Iklan

"Selain itu, penempatan kaya dengan keindahan alam semula jadi ini telah mengundang ramai pengunjung di sini, justeru, sekiranya tapak ini diiktiraf oleh Unesco, ia akan dijadikan sebagai kawasan tumpuan pelancong,” katanya.

Ketika ini empat Tapak Warisan Dunia Unesco di Malaysia adalah Bandaraya Melaka (Melaka) dan George Town (Pulau Pinang), Taman Kinabalu (Sabah), Gunung Mulu (Sarawak) dan Lembah Lenggong, Perak.

Mohammadin berkata pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, khususnya Hospital Sungai Buloh dalam memelihara dan memulihara signifikan warisan serta nilai-nilai keunggulan sejagat (Outstanding Universal Values) dalam menentukan keputusan pencalonan PKKN sebagai tapak warisan dunia.

Pameran 'Hope': Cerita Dari Lembah Harapan bermula pada 8 April hingga 10 Jun di 'Creative Space', Balai Seni Negara bertujuan untuk memaparkan lukisan-lukisan asli karya bekas pesakit kusta, artifak-artifak berkaitan penempatan serta visual rakaman sejarah lisan pesakit kusta bagi mengurangkan stigma masyarakat terhadap mereka. - Bernama