ALOR SETAR - Keputusan UMNO melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang memecat dan menggantung beberapa pemimpinnya pada malam Jumaat bakal memberikan kesan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bekas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail secara peribadi mengakui sedih dengan keputusan tersebut kerana dianggap telah merugikan parti.
Menurutnya, pemimpin seperti bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan adalah aset kerana mempunyai aura dalam menarik pengundi muda untuk bersama parti tersebut.
"Saya melihat pada PRN akan datang, Perikatan Nasional (PN) akan menguasai tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. Selepas ini tidak mustahil dengan keadaan UMNO (selepas pecat dan gantung pemimpin), Negeri Sembilan dan Selangor juga akan jatuh kepada PN.
"Saya nampak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersifat kuku besi. Orang yang bernilai dalam UMNO telah dikeluarkan dari parti," katanya semasa dihubungi pemberita pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan MKT UMNO memecat keahlian Khairy dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
MKT UMNO turut memutuskan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Shahril Sufian; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang digantung enam tahun.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad pula digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi UMNO Johor.
Mohd Yusof berkata, UMNO kini dalam keadaan tenat dan beliau tidak tahu apa yang dimahukan oleh Presiden UMNO sebenarnya.
"Sepatutnya perkara ini dibincangkan supaya jadi elok kerana pemimpin yang dipecat dan digantung mempunyai aura sendiri (membantu parti)," kata beliau.
Pada September tahun lalu, media melaporkan Mohd Yusof mengesahkan UMNO telah menggantung keahliannya selama enam tahun.
Lembaga Disiplin UMNO telah membuat keputusan menangguhkan hukuman penggantungan tersebut dan difahamkan penggantungan itu telah dikuatkuasakan semula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).