KUALA LUMPUR - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 12 jam di beberapa daerah melibatkan Johor, Pahang dan Sarawak sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan terus berlaku.
JPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia berdasarkan maklumat ramalan hujan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS.
Di Johor melibatkan mukim Plentong bagi daerah Johor Bahru; mukim Tanjung Surat, Kota Tinggi, Ulu Sungai Johor, Sedili Kechil, Ulu Sungai Sedili Besar, Sedili Besar bagi daerah Kota Tinggi manakala bagi daerah Mersing melibatkan mukim Triang.
Di Pahang, membabitkan mukim Pontian dan Rompin bagi daerah Rompin.
Di Sarawak pula di bahagian Kuching iaitu Jalan Laksamana Cheng Ho, Taman Bong Chin, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang, Lorong Kapor 10, Ulu Maong, Happy Valley, Taman Evergreen, Jalan Burung Durian, Jalan Batu Kawa, Desa Wira, Kampung Gita, Hospital Umum Sarawak, Jalan Batu Lintang, Kawasan Perumahan RPR Batu Kawa serta kawasan sekitarnya.
Bagi bahagian Samarahan melibatkan Kampung Mang, Taman Residen, SK Muara Tuang, Kampung Tanjung Bundong, Taman Uni Garden, Kawasan Muara Tuang III, Kampung Empila, Kampung Tanjung Parang, Kampung Bangka Semong, Kampung Nuip serta kawasan sekitarnya.
Menurut JPS, notis kesiapsiagaan dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut.
Orang ramai boleh melayari laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook PublicInfoBanjir dan Twitter JPS _InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa. - Bernama