NIBONG TEBAL - Sebuah rumah pusaka yang terbiar hampir tujuh tahun di Kampung Sungai Bakau di sini dijadikan sebagai Rumah Ngaji untuk dimanfaatkan penduduk setempat sebagai medan ilmu terutama dalam pengajian al-Quran.
Rumah Ngaji yang ke-50 di Pulau Pinang itu dikenali sebagai Rumah Ngaji Abu Bakar dikendalikan oleh Yayasan Mawar Pulau Pinang.
Pengasasnya, Ustaz Fahmi Abu Bakar berkata, rumah pusaka itu sebelum ini merupakan tempat beliau membesar bersama tujuh adik beradik lain namun dibiarkan usang selepas mereka masing-masing mempunyai kediaman tersendiri.
Tidak mahu membiarkan rumah yang menyimpan pelbagai kenangan itu terus terbiar begitu sahaja, beliau mengambil inisetif untuk baik pulih semula rumah berkenaan selain mendapatkan persetujuan dengan adik-beradik lain untuk menjadikan rumah pusaka keluarga sebagai tempat pengajian al-Quran.
"Kita akan menumpukan kepada kelas untuk orang dewasa terlebih dahulu dan akan bermula dengan menguasai bacaan Iqra sebelum meneruskan dengan kelas tilawah, tadabur dan tahfiz al-Quran,"katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Rumah Ngaji Abu Bakar, di sini pada Sabtu.
Hadir merasmikan, Pegawai Khas Kepada Ahli Parlimen Nibong Tebal, Khairul Anuar Abdul Manap.
Turut hadir dalam majlis berkenaan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad dan Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Mohd Taufek Abdul Rahman.
Mengulas lanjut mengenai operasi Rumah Ngaji Abu Bakar, Ustaz Fahmi berkata, ia akan dikendalikan oleh semua tenaga pengajar yang bertauliah daripada Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
Malah jelasnya, beliau sendiri akan mengajar kelas al-Quran pada setiap Sabtu.