Pelbagai usaha mudahkan majikan ambil pekerja asing

Iklan
Saifuddin (dua, kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh (kiri) ketika mengadakan lawatan kerja ke Balai Polis Kahang pada Sabtu. - Foto Bernama

KLUANG - Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk memudahkan polisi dan prosedur bagi majikan mendapatkan pekerja asing untuk bekerja di negara ini dalam usaha memulihkan ekonomi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Justeru, berliau berkata, majikan atau pekerja asing dinasihati agar tidak terlibat dengan sindiket atau aktiviti pemalsuan dokumen bekerja termasuk pas lawatan kerja sementara (PLKS).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerajaan memahami dalam proses pemulihan ekonomi pasca pandemik, terdapat permintaan guna tenaga yang tinggi terutama sektor kritikal seperti ladang, pertanian, pembinaan, perkilangan dan juga perkhidmatan.

"Lambat laun kita akan dapat mengesan dan apabila kita dapat kesan, kita hanya ada satu pilihan, kita akan mengenakan tindakan undang-undang ke atas mereka terlibat.

Iklan

"Ketika kerajaan telah melonggarkan banyak prosedur permohonan, mempermudahkan, mereka sepatutnya mengambil peluang ini untuk memanfaatkan proses yang kita dah mudahkan ini,” kata beliau kepada pemberita selepas mendengar taklimat banjir di Balai Polis Kahang, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya membuat pemantauan setiap hari dan setiap kali permasalahan dihadapi majikan atau pekerja asing, agensi yang terlibat telah diminta untuk memudahkankan proses berkenaan.

Iklan

Selain itu, beliau juga bertemu duta-duta asing termasuk Indonesia, Bangladesh dan Nepal bagi memberi penerangan dan kerjasama agar menerangkan kepada rakyat mereka yang berminat untuk bekerja di Malaysia.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan dua warga Bangladesh yang disyaki menjadi dalang sindiket membekal tenaga kerja warga asing dan pemalsuan PKLS.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Jabatan Imigresen kerana berjaya menumpaskan sindiket berkenaan, yang dipercayai telah beroperasi sejak tujuh hingga lapan bulan lepas.

Pada Jumaat, Jabatan Imigresen menahan enam lelaki termasuk lima warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan yang berkahwin dengan salah seorang warga Bangladesh dalam beberapa serbuan berkenaan di Klang, Selangor. - Bernama