Suspek pukul rakan direman tujuh hari

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 27 Januari lalu.

KUALA LUMPUR - Suspek utama kes seorang warga emas maut selepas dipukul menggunakan sebuah kerusi di Jalan Prima 2, Metro Prima, Kepong di sini pada Jumaat direman tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, tempoh reman berkenaan bermula pada Sabtu bagi melengkapkan siasatan berhubung kematian mangsa yang berusia 76 tahun.

Iklan
Iklan

"Kita dah panggil beberapa saksi tetapi ada sedikit keterangan bercanggah. Ada pula saksi yang menyatakan mangsa yang memukul suspek.

"Jadi kita akan lengkapkan siasatan dan akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Iklan

"Siasatan masih di bawah 302 Kanun Keseksaan, mungkin ada perubahan. Apa pun kita kena rujuk Timbalan Pendakwa Raya dahulu," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan, seorang warga emas berusia 76 tahun maut akibat dipukul rakannya menggunakan sebuah kerusi plastik selepas mangsa menuntut hutang berjumlah RM250 daripada suspek.

Iklan

Pergaduhan itu berlaku sekitar jam 6.45 pagi dengan kedua-dua individu berkenaan saling berbalas pukulan sebelum dileraikan oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Selepas itu, mangsa berlalu pergi sebelum dilaporkan rebah tidak sedarkan diri kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Susulan itu, suspek seorang lelaki berusia 63 tahun ditahan semasa hadir membuat laporan berhubung pergaduhan terbabit di Balai Polis Kepong pada Jumaat.

Polis mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada penyakit jantung iskemik (ischaemic heart diseases) susulan simptom asterosklerosis (keadaan yang dicirikan oleh arteri sempit).