ANTIKOLONIALISME adalah sikap individu atau kumpulan yang menentang atau memusuhi dasar atau amalan penjajah yang menguasai sesebuah negara.
Justeru, novel Andak Umar merupakan novel antikolonialisme terkini kerana isu atau tema nasionalisme mahupun antikolonialisme sudah terabai sekian lama dalam arena pernovelan Melayu kerana pengarang novel tempatan tidak lagi berminat menulis tentang perjuangan menentang penjajahan yang dianggap klise, kuno dan stereotaip apatah lagi era pascaperang sudah lama ditelan kemodenan.
Dalam sejarah perkembangan novel-novel Melayu khususnya pada era pra dan pascamerdeka, tema antikolonialisme cukup diminati pengarang.
Misalnya Ishak Haji Muhamad menghasilkan Putera Gunung Tahan (1939), Anak Mat Lela Gila (1941), Ahmad Murad Nasarudin (Nyawa Di Hujung Pedang - 1946), Ruhi Hayat (Pacar Merah Malaya - 1959), Garis Hitam Membelah Langit (1966), Sorong Makan Tarik Makan (1966) serta A Samad Ismail (Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), dan Kalau Kail Panjang Sejengkal (1967) adalah antara novel Melayu yang amat tepu dengan mesej antikolonialisme.
Namun kemunculan Andak Umar menyedarkan kita bahawa sejarah perjuangan sesuatu bangsa itu tidak harus dilupakan begitu sahaja malah rohnya sentiasa berlegar dalam kehidupan fana; perlu dirai dan disegarkan agar ia menjadi iktibar dan ibrah kepada generasi digital masa kini.
Novel ini ditulis oleh Muhd Mansor Abdullah mengandungi 64 bab dengan sejumlah 464 halaman memaparkan aksi kolonial di Perak yang mencetuskan konflik budaya lalu membugar patriotisme agama dalam kalangan pengamal persilatan tradisional.
Justeru, persoalan maruah, agama, kedaulatan tanah air serta kemanusiaan mendominasi tema Andak Umar berupaya menonjolkan landskap sosiobudaya setempat.
PROTAGONIS
Andak Umar seorang pesilat handalan, penentang penjahat, penindasan, penegak keadilan, patuh ajaran agama Islam serta amat setia kepada bapanya, Haji Ismail.
Anak kelahiran Kampong Sungai Durian, Teluk Intan, sewaktu remajanya menuntut ilmu persilatan dengan Khalifah Perang Parang Panjang di Sungai Lampam, Kiai Haji Bajuri walaupun bapanya juga seorang pendekar silat yang handal di Sungai Durian.
Setelah berkahwin dengan Nengah, Andak Umar tinggal di Kampung Telok Penikam, Bagan Datuk bersama-sama empat orang anak serta bapa mertuanya, Lope Tong yang lama menduda.
Meskipun berjauhan, hubungan silaturahim antara keluarga bapanya di Sungai Durian dan Kiai Haji Bajuri di Sungai Lampam masih tidak putus malah kian erat kerana Andak Umar acap kali diminta membantu Kiai Haji Bajuri mempertahankan Sungai Lampam atau kampung bersebelahan, Sungai Manik daripada pencerobohan gerila Bintang Tiga dan anggota Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) yang bersekongkol dengan tentera British menentang penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Kehidupan Andak Umar di Bagan Datuk sentiasa berdepan dengan keganasan tentera Jepun manakala di Sungai Durian, Sungai Manik dan Sungai Lampam dia sering membantu pasukan jihad perang fisabillah Sungai Manik menentang pencerobohan gerila Bintang Tiga dan anggota MPAJA bagi menyelamatkan nyawa penduduk, harta benda serta masjid yang dijadikan penceroboh sebagai markas perang.
Tenaga Andak Umar diperlukan oleh sebarang keadaan menyebabkan masanya sentiasa terisi termasuk pada sebelah malam mengajar ilmu persilatan di halaman rumah mertuanya. Anak murid silatnya ramai dan dia bertaraf guru silat yang handal di Bagan Datuk dan Teluk Intan.
Namun pengakhiran hidupnya begitu tragis. Dia diperangkap dengan jala ketika bergelut dengan puluhan gerila Bintang Tiga di Durian Sebatang, Teluk Intan ketika Andak Umar dalam perjalanan pulang dari Sungai Manik ke Bagan Datuk.
Andak Umar dijala oleh musuh kerana sebarang senjata dan peluru senapang tidak lut menjamah tubuhnya.
Hanya perangkap jala yang boleh mengunci pergerakan silatnya, itupun rahsia itu dibocorkan oleh kawan rapatnya yang belot menyebelahi gerila Bintang Tiga.
Tubuh Andak Umar yang bergumpalan dengan jaring jala itu dicampakkan ke sungai berdekatan dengan tempat kejadian. Mayat Andak Umar dijumpai oleh adiknya, Anjang Menoh tersadai di dasar Sungai Bidor.
Andak Umar seorang pahlawan Melayu yang tidak langsung didendang. Sejarah kepahlawanannya tenggelam ditelan zaman.
POLITIK
Politik dalam Andak Umar tidak mendominasi hegemoni tema berbanding mesej kemanusiaan, cinta dan perkahwinan. Politik dalam Andak Umar diwujudkan untuk membangunkan persoalan antikolonialisme yang terbentuk menerusi intrinsik manipulatif. Pengarang berjaya mempamerkan tanggapan politik; suatu tema yang tidak asing lagi dalam kesusasteraan Melayu moden di negara ini. Politik terbahagi kepada dua aspek pemikiran iaitu kenegaraan dan patriotisme. Pemikiran kenegaraan yang berkait dengan antikolonialisme disuruh melihat alam sebagai aset negara serta kecintaan terhadap buminya (Bab 14).
Dipaparkan kawasan kampung menerima perubahan drastik akibat penjajahan. Hutan belantara diteroka untuk tanaman getah. Malah imigran dibawa masuk ke Malaya menjadi kuli British (Bab 15). Amalan dasar itu boleh mencetuskan ekokolonialisme yang mencederakan sosiobudaya Malaya.
Novel Andak Umar mentakrifkan patriotisme adalah nadi kepada kebebasan sosiobudaya dan agama, kemerdekaan, kestabilan dan kemajuan sesebuah negara (Bab 26). Mesej patriotisme dikesan menerusi kemarahan Sujari terhadap Bintang Tiga yang telah merampas masjid mereka. Kemarahan Sujari ditokok dengan provokasi Manaf.
Sikap Sujari itu merupakan unsur patriotisme yang menyayangi tempat peribadatan penduduk Parit 6C Sungai Manik.
Hal ini boleh diibaratkan bahawa Sujari mencintai agama dan ingin mempertahankan hak awam daripada dirampas Bintang Tiga atau penceroboh.
Ketegasan protagonis dicerminkan melalui falsafah pengarang terhadap agama Islam dan membenci kolonial.
Justeru, watak Andak Umar dilukis berhati-hati serta digambarkan secara tersirat oleh pengarang agar pembaca mengesani falsafah jihad fisabilillah (berjuang ke jalan Allah).
Hegemoni mesej patriotisme terpancar menerusi watak Andak Umar wira yang wajar didendangkan. Hal ini sengaja ditimbulkan bagi menyedarkan masyarakat bahawa kedaulatan tanah air perlu dijaga dan dipertahankan.
Keselamatan negara terletak di tangan warganya dan sedar akan tanggungjawab yang harus dipikul.
Mempertahankan keselamatan negara bukan hanya wewenang pasukan keselamatan tetapi juga harus digalas oleh setiap masyarakat dengan tidak mengungkapkan konotasi rasis dan aksi berbentuk provokatif.
Justeru, Andak Umar sebuah novel antikolonialisme yang berada dalam kelasnya tersendiri.
*M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk).