'Tak boleh terima hakikat kelab kecil dari Asia mendahului'

Iklan
Aksi persahabatan antara Levski Sofia dan JDT ditamatkan pada minit ke-54. - Foto FB Johor Southern Tigers

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan mengenai insiden yang berlaku dalam aksi persahabatan menentang kelab Bulgaria, Levski Sofia yang terpaksa ditamatkan awal pada minit ke-54.

Menurut Tunku Ismail, pasukan lawan mungkin tidak dapat menerima hakikat kelab kecil seperti JDT sedang mendahului 1-0 selain pengadil dari Serbia gagal mengawal perlawanan.

Iklan
Iklan

"Pasukan lawan membuat terjahan tetapi tiada kad kuning. Pemain JDT berdiri beberapa meter dari wall (benteng) pun kena kad kuning. Bagi saya pengadil dari Serbia gagal untuk mengawal permainan.

"Nombor 30 ludah ke muka Leandro dan sepak Leandro tetapi tiada kad. Dari situ mulanya permainan jadi lebih agresif.

Iklan

"Mungkin mereka tak boleh terima hakikat kelab kecil dari Asia mendahului 1-0 menentang kelab dari Eropah,” kata TMJ.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Jebel Ali Centre of Excellence di Dubai pada Sabtu menyaksikan JDT berjaya mendahului pada minit ke-24.

Iklan

Susulan ketinggalan, Levski Sofia bermain secara agresif untuk mencari gol penyamaan sehingga tercetus pergaduhan pada minit ke-53 sebelum mereka memboikot perlawanan.

Pasukan itu melalui hantaran di laman Instagram mereka mendakwa JDT tiada semangat kesukanan menyebabkan mereka memboikot perlawanan itu.

Tindakan Levski Sofia tidak meneruskan perlawanan menyaksikan JDT diberikan kemenangan dalam aksi persahabatan itu.