Seramai 1.5 juta dijangka banjiri Pulau Pinang

Iklan
Seramai 1.5 juta penganut agama Hindu dijangka banjiri Pulau Pinang pada hujung minggu depan bagi menyambut perayaan Thaipusam. Gambar diambil di Georgetown pada Februari 2017. - Foto 123RF

GEORGETOWN - Seramai 1.5 juta penganut agama Hindu dijangka membanjiri Pulau Pinang pada hujung minggu depan bagi menyambut perayaan Thaipusam.

Pengerusi Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthabani, Datuk Seri P Kuvena Raju berkata, ini kerana perayaan itu hanya disambut pada skala kecil dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selama dua tahun disebabkan pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Kami menjangkakan kehadiran 1.5 juta penganut selama tiga hari kerana ramai yang ingin menunaikan nazar setelah tidak dapat berbuat demikian pada dua tahun lepas, jadi keadaan ini akan menjadi cabaran buat kami mengendalikan perayaan ini dengan sebaiknya.

"Tahun ini Thaipusam jatuh pada hujung minggu, manakala Isnin cuti umum. Kami turut menjangkakan kehadiran penganut dari Medan, Jakarta di Indonesia dan Singapura untuk menyertai perarakan di Pulau Pinang. Dahulu, ada juga penganut dari London (yang datang ke sini),” katanya kepada Bernama.

Iklan

Untuk perarakan pedati emas, beliau berkata, upacara itu akan bermula seawal 6 pagi pada 4 Februari di Lebuh Queen menuju ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam dan dijangka tiba paling awal pada 12 tengah malam bergantung kepada keadaan lalu lintas dan kesesakan.

Beliau turut menasihati orang ramai agar bertanggungjawab semasa perarakan kerana kelakuan para penganut di jalan raya akan mencerminkan komuniti beragama Hindu.

Iklan

"Yang terbaik ialah ikut peraturan dan jangan buang sampah merata-rata. Kami menyediakan tempat secukupnya untuk membuang sampah,” katanya.

Sementara itu, Pemegang Amanah Kuil Nagarathar Thanduthabani, Dr A Narayanan berkata, perarakan pedati perak akan bermula pukul 7 pagi di Kuil Nagarathar Kovil Vidu, Lebuh Penang, membawa arca Dewa Murugan dan dijangka sampai ke pekarangan Kuil Air Terjun pada 1 atau 2 pagi dengan perjalanan sejauh 9 kilometer.

Beliau berkata, pihaknya telah melakukan kerja-kerja menggilap pedati perak yang berusia 136 tahun, di samping memasang lampu serta hiasan lain sejak sebulan lepas, yang dilakukan oleh 15 sukarelawan.

"Tahun ini kami menjangkakan kehadiran yang lebih ramai dan kami sudah melakukan persediaan.

"Selepas perarakan, pedati perak dijangka dipulangkan ke kuil di Lebuh Penang kira-kira 8 pagi pada 6 Feb. Semuanya harus berjalan lancar dan berharap orang ramai akan memberi kerjasama,” katanya. - Bernama