IPOH - Pengaruh media banyak membantu perjalanan seseorang pemimpin dalam kerjaya politik, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata, sama ada penulisan dan laporan itu berbentuk pujian, teguran mahupun kritikan, memberi impak yang akhirnya membuatkan ahli politik lebih matang mengenali perjalanan politik sebenar.
"Dua dekad saya berkecimpung dalam kerjaya politik, rakan-rakan media setiap hari akan mengejar berita dan setiap hari menjadi yang pertama dapat berita. Ini perkara-perkara yang sangat penting dalam hidup kita bersama.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Malam Media Perak bersama Menteri Besar di Laman Sri Ridzuan di sini pada Sabtu.
Saarani menegaskan, hubungan baik antara pemimpin dengan media perlu terus dikekalkan.
"Sebab itu, saya akan cuba untuk tidak melukakan hati rakan-rakan media semua.
"Saya sentiasa mendapat dokongan yang sangat baik oleh rakan-rakan media. Sama ada menjadi ADUN biasa, menjadi Exco, menjadi Ketua Pembangkang sehinggalah menjadi Menteri Besar, media selalu ada untuk membantu," katanya.
Malam Media anjuran Pejabat Menteri Besar bersama Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) itu menghimpunkan lebih 80 pengamal media daripada hampir 25 agensi.
Turut hadir, Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Mohd Azlan Helmi; Pengarah Penerangan Perak, Mohd Rizal Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Anuar Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Pada majlis itu, PPMP turut menerima sumbangan bagi tabung persatuan berjumlah RM20,000 daripada kerajaan negeri dan RM10,000 daripada MB Inc.
Turut disampaikan dana perubatan berjumlah RM5,000 kepada Aina Afieyah Muhamad Nazreen Shah, anak kepada jurugambar Utusan Malaysia yang menghidap penyakit Epidermolysis Bullosa (EB) atau kulit rapuh.
Sementara itu, Pengerusi PPMP, Sayed Mohd Hesyam Sayed Idris berharap penganjuran malam media itu akan menjadi titik tolak kepada hubungan lebih erat bukan sahaja antara media dengan kerajaan tetapi dalam kalangan petugas media itu sendiri.
"Selain berfungsi sebagai jambatan antara media dan kerajaan negeri serta agensi-agensinya, PPMP juga sedaya upaya aktif menjaga kebajikan rakan-rakan media terutama dalam kalangan mereka yang sakit dan memerlukan bantuan kewangan," katanya.