Gantung, pecat Noh, Khairy sah di sisi perlembagaan UMNO

Iklan
Isham Jalil

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menegaskan keputusan penggantungan dan pemecatan beberapa ahli parti pada Jumaat lalu adalah sah di sisi perlembagaan parti.

Menurutnya, keputusan yang dibuat Lembaga Disiplin UMNO itu tidak melibatkan campur tangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

Iklan
Iklan

"MKT kebiasaannya memperakukan saranan dan keputusan Lembaga Disiplin berkenaan kes disiplin yang melibatkan ahli parti, namun tidak mencampuri proses siasatan serta tindakan lembaga itu.

"Bagaimanapun, ada beberapa pihak yang mempersoalkan tentang prosedur dan isu teknikal berkenaan proses pemecatan Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar termasuk rakan-rakan mereka.

Iklan

"Namun mengikut makluman daripada peguam UMNO, bahawa menerusi perlembagaan parti, proses tindakan pemecatan atau penggantungan ahli hanya perlu dirujuk kepada Majlis Kerja Tertinggi," katanya menerusi hantaran Facebook pada Ahad.

Tambah Isham, proses lain yang melibatkan Lembaga Disiplin dan sebagainya adalah hanya pengurusan dalaman yang dipraktikkan.

Iklan

"Oleh itu apabila Majlis Kerja Tertinggi telah memperakukan pemecatan dan penggantungan ahli UMNO, maka pemecatan dan penggantungan itu adalah sah di sisi perlembagaan UMNO dan undang-undang serta peraturan," ujarnya.

Beliau berkata, meskipun keputusan telah dibuat, ia tidak bermakna Noh dan individu yang lain tidak boleh merayu atau berjumpa lagi dengan Lembaga Disiplin untuk membela diri.

"Dia masih boleh berjumpa dengan Lembaga Disiplin seperti tarikh asal jemputan iaitu 30 Januari 2023 atau esok.

"Mereka masih boleh membela diri dan merayu beberapa kali. Jika Noh dan Khairy serta yang lain-lain boleh mengalahkan bukti-bukti terhadap mereka yang menunjukkan mereka bersalah, saya percaya Lembaga Disiplin akan membuat keputusan yang seadilnya," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati kepada pihak terbabit supaya tidak mencabar Lembaga Disiplin atau Majlis Kerja Tertinggi untuk memecat mereka seperti yang dilakukan sebelum ini, kerana akan memburukkan lagi keadaan dan menunjukkan keangkuhan.