MARANG - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu menyasarkan seramai 5,000 pencarum baharu dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pada tahun ini.
Pengarahnya, Farihah Che Husin berkata, setakat ini skim yang mula diperkenalkan kerajaan kepada golongan wanita sejak 1 Disember lalu sudah merekodkan hampir 100 pencarum di seluruh negeri.
Menurutnya, Perkeso akan meningkatkan kempen bagi mempromosikan SKSSR dan berharap lebih ramai suri rumah atau suami mendaftar isteri mereka ke dalam skim ini supaya pasangan masing-masing mendapat perlindungan sewajarnya.
"Caruman skim ini hanya serendah RM10 sebulan atau RM120 setahun dan antara manfaat diperolehi adalah faedah perubatan, hilang upaya kekal, pengurusan mayat dan pencen penakat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan faedah caruman kepada waris Allahyarhamah Zaidah Yusof iaitu suaminya, Zakaria Jusoh, 56, di rumahnya di Kampung Kelulut di sini pada Ahad.
Zaidah yang meninggal dunia kerana kegagalan paru-paru dan kencing manis pada 19 Disember lalu merupakan seorang pencarum SKSSR melalui geran kerajaan di bawah program e-Kasih.
Melalui caruman itu, waris Allahyarhamah layak menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 manakala anak bongsunya yang berusia lapan tahun menerima Faedah Pencen Penakat berbentuk pencen bulanan sebanyak RM180 yang akan diberi sehingga berumur 21 tahun atau sehingga mendapat Ijazah Pertama.
Mengulas lanjut Farihah berkata, SKSSR memberi perlindungan kepada golongan suri rumah tanpa mengira mereka itu suri rumah sepenuh masa, separuh masa, wanita yang berkahwin atau ibu tunggal, sama ada mereka mempunyai anak atau tidak.
Jelas beliau, seramai 10,287 wanita yang berdaftar dalam senarai e-Kasih di negeri ini juga telah mencarum secara percuma dengan SKSSR melalui geran kerajaan.
"Kita akan perhebatkan kempen bagi memastikan lebih ramai wanita mencarum dalam skim ini," katanya.