Bajet 2023: Tambah projek perumahan mampu milik

Iklan
Ahmad pada sidang akhbar perasmian tangki air Tangki Air Baharu Benut 4, Pontian pada Ahad.

PONTIAN - Menambah projek pembinaan rumah mampu milik antara perkara yang disuarakan rakyat menerusi sesi dialog Kementerian Kewangan bermula minggu lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, turut disuarakan pada sesi dialog itu ialah memperbanyak peluang pekerjaan serta bantuan untuk peniaga kecil dan sederhana.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, antara maklum balas lain yang diterima ketika sesi dialog berkenaan adalah memohon pemotongan cukai tertentu serta permohonan bantuan kepada persatuan-persatuan sukan, membabitkan pelbagai jenis sukan.

"Sebab itu kita adakan dialog ini, supaya dapat mendengar suara dan hasrat kumpulan fokus dan kita catat serta rumuskan mana yang terbaik daripada cadangan yang diberi.

Iklan

"Sudah tentu bukan semua yang kita ambil, tetapi memandangkan kita ada dua kali pembentangan bajet tahun ini, jika tidak dilaksanakan tahun ini, masih ada peluang dilaksanakan tahun depan," katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Tangki Air Baharu Benut 4, Jalan Wawasan, Benut di sini, pada Ahad.

Sesi dialog Bajet 2023 itu membabitkan 18 sesi, bermula 26 Januari hingga 10 Februari depan untuk mendapatkan maklum balas serta pandangan semua pihak berkepentingan sebelum dirumuskan untuk dimasukkan dalam Bajet 2023.

Iklan

Ahmad turut berkata, Kementerian Kewangan juga akan turun ke semua negeri bagi tujuan sama untuk mendapatkan pandangan serta cadangan terhadap keperluan di peringkat negeri.

"Setakat ini semua sesi dialog dibuat di Kementerian Kewangan, tetapi nanti kita akan ke negeri-negeri dan ia dimulakan dengan Selangor terlebih dahulu," katanya.

Ahli Parlimen Pontian berkata, tangki air baharu Benut 4 menelan kos RM13 juta, mampu menampung kegunaan 17,500 penduduk Sungai Pinggan, Parit Ismail, Parit Mastar, Air Baloi, Parit Sayang dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Dr Ismail.

Katanya, sebuah lagi tangki air baharu sedang dalam pembinaan di Kampung Parit Haji Ariff manakala Loji Rawatan Air Kayu Ara Pasong yang berkapasiti 30 liter kini dalam proses reka bentuk.

"Penggantian jajaran paip lama yang uzur sepanjang 32 kilometer juga akan dilakukan di seluruh daerah Pontian. Penggantian paip lama ini akan dilakukan secara berperingkat," katanya.