BACHOK - Penduduk di pesisir pantai termasuk nelayan laut menggunakan cuka masakan sebagai petua bagi mengurangkan kesakitan akibat bisa disengat obor-obor.
Seorang nelayan, Mohd Rizuwan Ramli, 41, berkata, kerap kali terkena sengatan haiwan berbisa itu ketika memukat ikan di laut.
"Terdapat banyak obor-obor yang berwarna putih dan merah di perairan Kelantan. Obor-obor itu akan terlekat pada pukat menyebabkan nelayan terkena sengatan.
"Tahap kesakitan paling teruk akan dirasai semasa baharu disengat, tapi kebiasaannya saya akan curahkan cuka di tempat gigitan bagi mengurangkan rasa pedih serta gatal,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Rabu lalu, petugas Penyelamat Pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengesan kehadiran obor-obor berwarna biru dipercayai spesis Physalia Physalis di Pantai Irama Bachok ketika melakukan penugasan rondaan pada jam 3 petang.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bachok, Leftenan Mohd Khairi Mat Hussin berkata, obor-obor tersebut pertama kali ditemui di pantai terbabit berbanding kebiasaan hanya menemui obor-obor yang berwarna merah atau putih di luar musim Monsun Timur Laut (MTL) sekitar Mac, April dan Mei.
"Hanya satu bangkai sahaja dijumpai dan sudah dibuang bagi menggelakkan terkena pengunjung.
"Mangsa boleh cuba sapu cuka pada tempat sengatan dan perlu ke hospital untuk rawatan lanjut bagi mengelak kesan yang melarat,” katanya.
Beliau berkata, rondaan dilakukan enam anggota APM di kawasan Pantai Irama bagaimanapun tidak menemui sebarang tanda-tanda kehadiran obor-obor lain di kawasan terbabit.
"Pada masa sama, kami juga melakukan penugasan rondaan setiap hari bagi memastikan keselamatan pengunjung semasa musim MTL dan turut menaikkan bendera amaran berwarna merah.
"APM Bachok menasihati orang ramai supaya tidak mendekati pantai sekurang-kurangnya dengan jarak 100 meter kerana keadaan angin kencang dan ombak besar ketika ini,” katanya.