Usaha cetak, edar satu juta al-Quran akan diselaraskan

Iklan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (kanan) beramah mesra bersama sebahagian pasangan pengantin pada Majlis Walimatul Urus Perdana di Dataran Merdeka sempena Karnival MAIWP 2023 hari ini.

KUALA LUMPUR - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menyelaras usaha mencetak dan mengedarkan sejumlah satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia melalui kerjasama agensi di bawahnya serta Pejabat Perdana Menteri.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata pihaknya menyokong penuh usaha itu dan bakal mengadakan perbincangan lanjut bagi memastikan inisiatif itu dapat direalisasikan.

Iklan
Iklan

"Perdana Menteri mahu kita respons dengan cara keluarkan satu juta al-Quran di seluruh dunia dan memastikan kitab itu bukan sahaja dibaca tetapi dihayati," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Walimatul Urus Perdana bersempena Karnival Majis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 di Dataran Merdeka pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya.

Iklan

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat Pameran Seni al-Quran dan Himpunan Artifak Dunia Islam Terbesar anjuran Yayasan Restu di Kompleks Nasyrul Quran, berkata, Malaysia akan mencetak dan mengedarkan satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia, sebagai tindak balas terhadap pembakaran kitab suci umat Islam itu.

Anwar berkata, pendekatan itu lebih berfaedah sebagai langkah menyebarkan kefahaman mengenai al-Quran supaya kandungannya dapat dihayati semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman dan agama.

Iklan

Mohd Na'im berkata, untuk peringkat awal, pihaknya akan merangka perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan dalam masa terdekat.

"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri dan agensi agama untuk pastikan hasrat Perdana Menteri tercapai.

"Kalau sekadar baca tapi tidak ada terjemahan mungkin agak sukar untuk kita agihkan di (seluruh) dunia. Jadi selari dengan hasrat Perdana Menteri, kita akan cetak naskhah al-Quran bersama terjemahannya," katanya.

Justeru, katanya, perincian lanjut khususnya pengeluaran naskhah terjemahan merangkumi pelbagai bahasa akan diselaraskan.