SHAH ALAM - Salah seorang pengarah drama Kudeta, Imran Sheik mempertahankan lakonan bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dalam satu babak tular menyentuh sensitiviti wanita baru-baru ini, yang disifatkan tidak melanggar batasan.
Beliau berkata, watak yang dimainkan Maszlee sebagai Jamal itu hanya cerita fiksyen semata-mata dan adegan berkenaan juga secara tidak langsung menyampaikan mesej mengenai masalah yang selalu dihadapi dalam persekitaran masyarakat dalam negara ini.
"Berlakon dalam cerita fiksyen berlawan dengan berkelakuan di dunia nyata' dan 'batasan dalam lakonan' adalah dua perbincangan yang berbeza.
"Kami percaya kami tidak melanggar batasan itu kerana batasan itu kadangkala boleh menjadi abstrak. Bagaimanapun saya ingin mulakan dengan mengatakan niat dalam pembikinan filem adalah 'apabila kita tidak boleh selesaikan masalah jika kita tidak fikir jalan untuk penyelesaiannya'.
"Dengan pendekatan itu, kebanyakan projek saya adalah cerita gelap dan mempamerkan masalah yang ada dalam masyarakat kita maka dengan mengetengahkan masalah, penyelesaian kepada masalah akan diserlahkan juga," katanya dalam kenyataan.
"Tetapi, memang sepatutnya ia membuat anda berasa begitu kerana watak Mariam (Vanida Imran) adalah 'audience stand-in'.
"Kalau anda rasa geram dengan Jamal sampai nak tampar dia, itulah yang apa Mariam buat. Pada saat itu, perasaan geram Mariam dan penonton adalah sama. Supaya penonton memahami perasaan Mariam," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, dalam babak itu, pertemuan antara Perdana Menteri Masraya, Mariam dengan bekas mentornya, Jamal di penjara, mencetus konflik antara mereka.
"Di mana Jamal merasakan keperluan untuk menakutkan atau gertak Mariam. Oleh kerana digari dan tidak boleh melakukan apa-apa secara fizikal, dia buat yang terbaik secara lisan.
"Jamal adalah bekas ahli politik yang sangat kejam. Dia tahu suami Mariam ada hubungan sulit. Jadi apakah perkara yang paling menyakitkan hati, yang Jamal boleh katakan untuk menakutkan Mariam?
"Dengan mengatakan bahawa dia sudah tua secara seksual, sebab itu suaminya berbuat demikian," katanya.
Dengan provokasi itu, katanya, Jamal dilihat mencapai matlamatnya, bahawa Mariam mudah digertak.
"Justeru, 'permainan intimidasi' ini berleluasa bukan sahaja dalam politik, tetapi dalam pekerjaan (bos anda mungkin pernah buat ini), dalam ‘hubungan penderaan' dan banyak lagi," jelasnya.
Menurutnya, pengalaman bekerja dengan Maszlee amat menyenangkan kerana bekas Menteri Pendidikan itu merupakan seorang yang merendah diri, mudah bekerjasama dan tidak seperti watak yang dilakonkannya.
"Ini juga pendekatan kami dalam ‘casting’ (ujian pengambilan), lebih mahukan seseorang yang langsung tidak sama dengan watak yang dilakonkannya.
"Jadi, seorang pelakon boleh menggilap kemahirannya dalam lakonan," katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau memohon maaf sekiranya perkataan yang disebut oleh watak Jamal itu terlalu sensitif untuk penonton.
"Kami telah cari perkataan yang terbaik dan berlapik tetapi masih tajam dan menusuk kepada watak Vanida.
"Kami juga berterima kasih kepada semua penonton yang menonton drama ini. Sokongan dan kritikan anda kami terima dengan hati yang terbuka dan akan diperbaiki pada masa akan datang," ujarnya.
Baru-baru ini, timbul kontroversi berhubung lakonan Maszlee dalam babak yang mana wataknya menyebut bahagian sulit watak yang dibawa oleh Vanidah.