Sultan Perak, Permaisuri berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina

Iklan
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri di Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) di sini pada Ahad.

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri di Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) di sini pada Ahad.

Keberangkatan tiba baginda sekitar jam 3 petang itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Iklan
Iklan

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Iklan

Pada sambutan itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menggaul 'yee sang' sebagai simbolik sambutan perayaan berkenaan sebelum menyampaikan ang pau kepada anak yatim.

Tetamu juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan antaranya tarian singa, tarian naga dan pukulan gendang.

Iklan

Majlis santapan kemudiannya diiringi persembahan tarian daripada Kumpulan Selendang Perak.

Majlis santapan kemudiannya diiringi persembahan tarian daripada Kumpulan Selendang Perak, Pertubuhan kebudayaan dan Orkestra Cina Ipoh

Saarani dalam ucapannya berkata, Covid-19 menghadirkan hikmah cukup besar buat sekalian rakyat bahawa sehebat mana cabaran dan dugaan dihadapi, mampu diharungi dengan semangat perpaduan dan kebersamaan.

"Nilai-nilai inilah yang menjadi kunci kepada kelangsungan negara tatkala berhadapan liku dan cabaran semasa yang semakin rencam," katanya.

Beliau berkata, meskipun cengkaman pandemik kian mengendur, banyak petanda membayangkan tahun 2023 akan sarat dengan ujian dan rintangan, terutama prospek ekonomi global yang dijangka mengalami kemelesetan.

Katanya, segala cabaran itu menuntut kerajaan sama ada di peringkat negeri dan Persekutuan untuk terus berganding bahu memastikan negara sentiasa berada pada paksi kestabilan.

"Ini bagi memastikan tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada usaha memulihkan semula ekonomi serta mencipta polisi yang mampu membimbing rakyat mengharungi getirnya cabaran-cabaran mendatang.

"Berkat mutiara pemikiran dan nukilan titah Ke Bawah Duli Tuanku yang tidak pernah jemu menyentuh dhamir rakyat tanpa mengira latar belakang akan menjadi suluhan pedoman kepada patik dan seluruh jentera pentadbiran dalam melata usaha serta ikhtiar memakmur dan mensejahterakan bumi bertuah Perak ini," katanya.

Sempena sambutan itu, kira-kira 40,000 pengunjung berbilang kaum membanjiri taman tema itu bermula jam 2 petang hingga 5 petang.