SHAH ALAM - Kerajaan Selangor berusaha memastikan garis panduan pengurusan perniagaan aktiviti perkhemahan yang dibangunkan di negeri ini mengambil kira kepentingan semua pihak.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, panduan itu merangkumi kategori tapak perkhemahan, perancangan dan kelulusan tapak aktiviti perkhemahan.
Selain itu, katanya, perkara lain diberi tumpuan antaranya risiko dan keselamatan serta punca kuasa perundangan untuk perniagaan aktiviti perkhemahan dilesenkan.
"Antara fokus kerajaan negeri adalah kategori aktiviti perkhemahan yang bergantung kepada fasiliti dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak operator serta lokasi aktiviti perkhemahan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sehubungan itu, Sze Han berkata, kerajaan negeri berhasrat mewujudkan satu piawaian minimum namun wajib untuk dipatuhi oleh pihak operator yang menjalankan aktiviti perkhemahan.
Sze Han berkata, beliau juga mengadakan pertemuan dengan pengusaha melalui bengkel penyediaan garis panduan pengurusan perniagaan aktiviti perkhemahan di negeri Selangor.
Jelas beliau, bengkel itu dihadiri 16 wakil kementerian, jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anak syarikat kerajaan negeri Selangor.
"Antara yang terlibat terdiri daripada wakil Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan; Majlis Perbandaran Hulu Selangor; Jabatan Kerja Raya; PLANMalaysia @ Selangor; Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor serta Tourism Selangor Sdn Bhd," jelas beliau.
Sze Han memberitahu, sebanyak 11 organisasi termasuk persatuan perkhemahan dan wakil industri terlebih dahulu hadir mengikuti sesi dialog awam sebelum sesi bengkel itu dijalankan.
"Saya menghargai maklumat daripada pembentang semasa sesi dialog awam yang memberikan data dan pendapat mereka serta didengari semua wakil kerajaan terlibat.
"Semoga bengkel tiga hari ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya supaya penyediaan garis panduan ini dapat dibentangkan kepada pihak kerajaan negeri dalam masa terdekat untuk pertimbangan lanjut dan kelulusan," kata beliau.