[VIDEO] UMNO Sembrong tuntut penjelasan tindakan gantung Hishammuddin

Iklan
Sidang akhbar UMNO Bahagian Sembrong berhubung penggantungan keahlian selama enam tahun terhadap Hishammuddin di Rumah UMNO Sembrong, Taman Sri Lambak Kluang pada Ahad.

KLUANG - UMNO Bahagian Sembrong menyifatkan tindakan penggantungan keahlian selama enam tahun terhadap Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilakukan secara tidak cermat.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abd Ghani Abd Rashid berkata hukuman yang dikenakan itu tidak melalui proses yang sewajarnya, tiada surat tunjuk sebab mahupun pendengaran oleh lembaga disiplin parti.

Iklan
Iklan

"Saya menggambarkan tindakan pucuk pimpinan tertinggi parti sebagai tidak cermat kerana isunya lebih kepada isu berlainan pandangan. Itu sahaja isunya.

"Atas matlamat yang sama untuk parti dan masa depan, cuma ia berlainan pandangan sahaja. Namun hukuman itu diurus dengan cara tidak cermat. UMNO Sembrong tidak terima cara yang dibuat ke atas Hishammuddin," katanya.

Iklan
Abd Ghani

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri kira-kira 50 pimpinan dan ahli di Rumah UMNO Sembrong di Taman Sri Lambak di sini pada Ahad.

Abd Ghani berkata, tindakan penggantungan itu memberi kesan kepada imej UMNO Sembrong yang mempunyai lebih 14,000 ahli dan 66 cawangan.

Iklan

Sehubungan itu, UMNO Sembrong menuntut Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memberikan penjelasan munasabah penggantungan tersebut dikenakan kepada Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden parti.

Ketika ditanya mengenai pemilihan cawangan dan bahagian yang akan bermula pada 1 Februari, Abd Ghani menyatakan UMNO Sembrong akan menguruskan sebaiknya meskipun timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli disebabkan penggantungan itu.

"Disebabkan itu, saya sendiri akan turun jumpa ahli untuk berikan mereka pemahaman berhubung isu penggantungan ini, untuk elak perpecahan berlaku khususnya di akar umbi," katanya.

MKT UMNO pada Jumaat menggantung selama enam tahun keahlian Hishammuddin, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif.

Selain itu, MKT UMNO turut memecat bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

MKT UMNO juga menggugurkan Datuk Seri Hasni Mohamad sebagai Pengerusi UMNO Johor dan menggantikan beliau dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.