KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres & Flat Kampung Sungai Baru akan menyerahkan memorandum cadangan penyelesaian isu pembangunan semula kawasan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusinya, Lele Suzana Kudari berkata, pihaknya mewakili penduduk berterima kasih dengan keprihatinan PM, yang campur tangan meminta projek tersebut ditangguhkan bagi memberi ruang rundingan antara penduduk dan pemaju.
Menurutnya, penduduk meluahkan kesyukuran kerana beban yang ditanggung mereka susulan dikenakan arahan pengosongan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 mendapat perhatian pemimpin nombor satu negara.
"Kami telah dinafikan hak selepas dikenakan warta ketika di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), apatah lagi ketika warta tersebut dikuat kuasa ketika negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya pada sidang akhbar diadakan bersama Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad pada Ahad.
Lele Suzana menyampaikan memorandum cadangan penyelesaian isu Kampung Sungai Baru kepada Khalid untuk dihantar kepada PM.
Beliau berkata, pihaknya maklum tujuan PM mengeluarkan arahan penangguhan projek pembangunan semula kawasan itu bagi memberi ruang perbincangan antara kedua belah pihak bagi mencapai persefahaman yang memenangkan kedua-dua belah pihak.
"Kami selaku pemilik dan waris hartanah Kampung Sungai Baru sentiasa terbuka dan bersedia untuk berbincang.
Pihaknya turut meminta supaya semua pihak khususnya agensi pelaksana akur dengan arahan penangguhan tersebut dengan tidak meneruskan sebarang proses pengusiran mahupun tuntutan mahkamah.
Awal bulan lalu, Anwar mengarahkan agar projek tersebut ditangguhkan sebulan atau sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan semula.
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha politiknya Azman Abidin yang memaklumkan penangguhan dibuat supaya rundingan di antara penduduk dan pihak berkepentingan dapat dibuat untuk menyelesaikan isu berbangkit.
Pada 19 Disember lalu, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) mengeluarkan notis pengusiran kepada penghuninya yang merupakan pemegang pajakan 99 tahun, masih berbaki 57 tahun.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok Flat PKNS dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.
Penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan PTGWPKL.