Bincang perubahan sistem penjagaan kesihatan negara

Iklan
DR ZALIHA

KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa telah mengadakan perbincangan dan forum bersama pakar perubatan Malaysia yang kini berkhidmat di United Kingdom (UK) mengenai perubahan sistem penjagaan kesihatan negara.

Menurut pejabat Menteri Kesihatan dalam kenyataan pada Ahad, perbincangan dan forum yang berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad itu adalah bersempena dengan lawatan kerja beliau selama dua hari di UK.

Iklan
Iklan

"Dr Zaliha komited dalam melaksanakan perubahan sistem penjagaan kesihatan negara melalui perbincangan bersama pakar perubatan Malaysia yang kini berkhidmat di UK,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya Zaliha menghadiri program perbincangan khas ‘Building A Resilient Healthcare System-The Future of Medical Research Collaboration between Malaysia and UK’ dalam lawatan kerja berkenaan.

Iklan

Perbincangan meliputi pelbagai topik, antaranya cabaran yang dihadapi sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia serta isu kerjasama bidang penyelidikan merentasi sempadan.

"Perbincangan dua hala itu penting memandangkan sistem penjagaan kesihatan di UK dan Malaysia mempunyai beberapa persamaan, antaranya menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan percuma, dan kedua-dua negara sedang berikhtiar untuk menyediakan perkhidmatan terbaik meskipun berlaku peningkatan kos dan demografik.

"Input yang diperoleh daripada perbincangan selama kira-kira tiga jam itu amat bermanfaat memandangkan Malaysia sedang merangka sebuah Kertas Putih Kesihatan,” katanya.

Iklan

Menurut kenyataan itu, turut bersama dalam perbincangan ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pakar Kardiologi dari Universiti Oxford, Profesor Madya Dr Masliza Mahmod.

Perbincangan itu merupakan program pertama kali dianjurkan di Oxford oleh Oxford University Malaysia Club (OUMC) dengan kerjasama Clinical Research Malaysia (CRM), katanya.

Dr Zaliha turut menghadiri majlis makan malam bersama kira-kira 40 komuniti dan pelajar perubatan di UK anjuran Education Malaysia London.

Menurut kenyataan itu, Dr Zaliha akan menghadiri forum bertajuk ‘UK-Malaysia Clinical Research Partnership: Making It Happen’ di Malaysia Hall yang akan dikendalikan oleh Profesor Eric Lim, Pakar Perunding Thoracic Surgeon dari Hospital Diraja Brompton.

Forum yang diadakan pada 7 petang waktu tempatan Ahad itu akan membincangkan kerjasama antara penyelidik klinikal UK dan Malaysia bagi memastikan penyelidikan berkualiti di institusi masing-masing dapat dihasilkan.

Kenyataan itu menyebut, kesemua ahli panel akan berkongsi pengalaman penyelidikan dan pandangan mereka tentang kerjasama semasa dan akan datang dalam bidang kepakaran masing-masing. - Bernama.