IPOH - Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar Negeri, Dr Abdul Aziz Bari menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung rakaman audio tular yang mengaitkan dirinya, semalam.
Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan mengenai perkara itu dan menganggap ia bukan sesuatu yang perlu diberi keutamaan.
"Terserah kepada polis untuk lakukan siasatan dan sebagainya, apa kesalahan dilakukan dan siapa yang terlibat. Kita tunggu sahajalah kerana bagi saya tidak ada apa-apa (perlu dikhuatiri)," katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan polis dibuat Armada Bersatu Perak yang meminta pihak berkuasa menyiasat perbuatan individu di dalam rakaman audio terbabit kerana disifatkan mengancam kestabilan kerajaan negeri.
Sekiranya benar tindakan itu dilakukan Exco Kerajaan Perak, ia merupakan satu tindakan tikam belakang terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan kerajaan negeri keseluruhannya.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, mana-mana pihak berhak sama ada mahu membuat laporan polis atau sebaliknya.
"Saya sendiri pun tidak tahu apa yang dilaporkan dan kepada siapa yang dituju atau nak diambil tindakan itu.
"Kini timbul pula kononnya ada suara orang lain dalam rakaman itu, jadi yang terlibat mungkin lebih daripada seorang, isu sudah jadi lebih menarik," katanya.
Beliau mengakui ada menerima banyak video-video seumpama itu, namun mengambil pendekatan tidak melihat dan mendengar kerana merasakan tidak penting.
"Sekarang ini pun kita sibuk dengan Persidangan Dewan Negeri, saya tak ada masa nak ambil tahu perkara-perkara seperti ini.
"Tambahan pula macam-macam pelakon ada, kalau orang boleh menyerupai P Ramlee, inikan pula saya," katanya.
Terdahulu, Abdul Aziz bersama Jabatan Pendidikan Negeri mengadakan lawatan meninjau keadaan pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) yang diisolasi akibat jangkitan Influenza A H1N1.