PENCAPAIAN skuad hoki negara mengakhiri saingan Piala Dunia 2023 di kedudukan ke-13 disifatkan sebagai tonik mujarab sebagai persediaan memburu slot Sukan Olimpik Paris 2024.
Pengurus Malaysian Tigers, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, pengalaman diraih selama lebih dua minggu di bumi India itu mampu dijelmakan dengan keputusan lebih baik pada Sukan Asia Hangzhou 2023.
"Pengalaman di sini (India) akan kami bawa bersama dalam memantapkan persiapan dalam menghadapi beberapa kejohanan penting tahun ini.
"Ini terutamanya Sukan Asia 2023 yang juga pentas pertama pasukan hoki untuk kelayakan Olimpik Paris 2024,” kata Mirnawan di laman sosial Facebooknya.
Kejayaan menewaskan Jepun 3-2 dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-13 hingga 16 di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela pada Sabtu, menceritakan komitmen tinggi anak buah Arul Selvaraj itu.
Biarpun gagal mencapai sasaran layak ke suku akhir, kesungguhan dan semangat juang yang ditunjukkan Malaysian Tigers bermula aksi peringkat kumpulan sewajarnya diberikan pujian.
"24 hari yang bagaikan roller coaster perjalanan The Malaysian Tigers mengharungi Piala Dunia kali ini. Ada kala kami di atas, adakala kami di bawah.
"Tetapi apa yang penting kita tamatkan dengan keputusan yang positif. Terima kasih kepada keluarga pemain dan pegawai yang begitu memahami walaupun sentiasa berjauhan.
"Tidak lupa juga kepada semua yang sentiasa mendoakan dan memberi sokongan kepada kami sepanjang kami berjuang pada Piala Dunia 2023 di India,” ujarnya.