Penganjuran BISA tepat pada masa

Iklan
Jamaluddin

KUALA LUMPUR - Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) yang diperkenal dan dianjurkan oleh Sinar Harian sangat bertepatan dengan situasi masa kini yang diwarnai dengan pelbagai jenama di pasaran.

Pengasas Syarikat Konsultasi Pemasaran Dan Penjenamaan Sifubad Sdn Bhd, Jamaluddin Bahari berkata, dengan kemunculan pelbagai jenama di pasaran, salah satu cara untuk lebih menonjol berbanding pesaing lain adalah dengan prestij yang diperoleh hasil daripada pengesahan sesebuah badan diiktiraf dalam pasaran.

Iklan
Iklan

"Ia (anugerah) memang diperlukan. Pertama, untuk penerimaan pengguna kepada sesebuah jenama. Kedua, supaya jenama tersebut akan dapat meningkatkan nilainya.

"Sebagai contoh, jika dia penerima anugerah dalam kategori makanan dan minuman (F&B), saya percaya anugerah itu akan meningkatkan nilai syarikat termasuk produk, pasukan, sistem dan seterusnya mencipta satu semangat baharu kepada usahawan lain untuk berdaya saing lebih baik dalam pasaran.

Iklan

"Di sinilah potensi berlaku pengembangan perniagaan seperti menembusi pasaran lebih jauh dan luas serta mampu membangunkan produk-produk baharu untuk meningkatkan lagi perniagaannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang lebih popular dengan gelaran Sifu Jamal menambah, penganjuran BISA yang mempunyai kaitan dengan akhbar Sinar Harian dilihat lebih berkredibiliti dan dipercayai.

Iklan

"Saya yakin pihak penganjur BISA akan menilai calon-calon yang bersesuaian bagi setiap industri.

"Kriteria-kriteria bersesuaian, bertepatan, ketelusan dan pengesahan perlu digunakan untuk memilih calon-calon yang terbaik dalam memenangi anugerah bagi setiap industri,” ujarnya yang menubuhkan Sifubad pada tahun 2013 dan memfokuskan kepada konsultasi, pemasangan papan iklan serta penerbitan buku perniagaan.

Dalam pada itu katanya, orang ramai tidak melihat siapa lebih lama atau lebih besar dalam perniagaan sebaliknya memandang mereka yang ‘laju’ membina masa depan perniagaan.

"Siapa yang laju, dia yang akan lebih maju dan siapa yang maju pasti ada hala tuju. Untuk kita laju dan maju ini, salah satunya mesti ke depan berbanding orang lain.

"Kena tingkatkan kepercayaan, prestij, imej dan perniagaan untuk orang terima kita. Salah satunya dengan pemilihan anugerah yang bersesuaian.

"Contohnya jika diberi rezeki mendapat anugerah BISA, ambillah peluang ini sebaik mungkin untuk memajukan diri dalam perniagaan,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut mendedahkan bahawa dirinya seorang yang sangat ‘memilih’ dalam mana-mana anugerah ditawarkan.

"Saya menyokong anugerah ini (BISA) disebabkan salah satunya adalah kredibiliti dan autoriti yang dimiliki jenama BISA itu sendiri iaitu daripada Sinar Harian,” katanya.

BISA menyediakan pelbagai kategori anugerah untuk usahawan termasuk golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Anugerah berkenaan turut melibatkan pemain industri atau sektor seperti perkhidmatan, kepenggunaan, fesyen, agensi pelancongan, peruncitan dan banyak lagi.