KUALA BERANG - Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu akan mewartakan sebahagian Hutan Simpan Tembat, Jenagor dekat sini, dalam usaha memelihara habitat bunga Pakma atau lebih dikenali sebagai Rafflesia.
Pengarahnya, Roslan Rani berkata, pihaknya akan mengemukakan kertas kerja berkaitan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat untuk kajian dan penelitian sewajarnya.
Beliau berkata, jika perkara tersebut berjalan lancar, langkah pewartaan tersebut dijangka dapat dilaksanakan pada tahun ini mengikut Seksyen 10 (1) Akta Perhutanan Negara 1984.
"Kami akan angkat kertas kerja kepada kerajaan negeri dalam sedikit masa lagi dan kalau tidak ada masalah, insya-Allah mungkin (pewartaan) dapat direalisasikan tahun ini," katanya kepada Bernama.
Roslan berkata, bunga Pakma mula ditemui di sekitar Hutan Simpan Tembat pada 2019 dan sejak itu, ia membiak dengan banyak kerana keadaan perumah yang sesuai dengan pertumbuhannya.
Menurut belia,u jenis bunga yang tumbuh di hutan itu adalah daripada spesies Rafflesia Cantleyi, iaitu yang terbesar, cantik serta jarang ditemui.
"Kewujudannya secara semula jadi menarik minat ramai pencinta alam termasuk pendaki yang ingin menyaksikan sendiri bunga Pakma yang biasa hanya ada di Sabah dan Sarawak.
"Bagaimanapun pengunjung yang ingin masuk ke kawasan Hutan Tembat perlu memohon permit khas daripada pegawai hutan daerah Hulu Terengganu bagi mengelak didakwa kerana menceroboh kawasan hutan simpan," katanya. - Bernama