PUTRAJAYA - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional.
Menurutnya, jawatankuasa itu diberi tempoh tiga bulan untuk mengemukakan dapatan kepadanya.
Beliau berkata, dapatan dan saranan penambahbaikan daripada jawatankuasa itu sangat kritikal atas beberapa sebab.
"Pertama, landskap pendidikan nasional hari ini sudah menjadi semakin ‘multifacated’. Kedudukan dan peranan semua pihak mesti dilihat dan diperkemas semula," kata Mohamed Khaled menerusi ucapan Amanat Tahun Baharu di kementeriannya di sini pada Isnin.
Ujar beliau, segala yang berlaku di sekeliling sama ada wabak kesihatan, perubahan iklim atau krisis tenaga mahupun perang kognitif, secara tidak langsung mengheret kementerian menjadi sebahagian daripada pemainnya.
"Sektor pendidikan tinggi tidak lagi terbatas pada penyediaan graduan yang berkemahiran demi sebuah pasaran kerja atau penyelidikan dengan deretan jurnal impak tinggi nilainya terbatas hanya kepada prestij.
"Atau hanya sekadar menjalankan sebuah perniagaan yang berkisar tentang kelayakan ijazah," katanya.
"Maka, kita memerlukan pelan dan strategi yang lebih sofistikated, lestari dan kontemporari.
"Paling penting, kita memerlukan pelan dan strategi yang akan menterjemahkan aspirasi nasional," katanya.
Ujar Mohamed Khaled, dalam menterjemahkan pelbagai dasar dan program nasional, KPT akan bersikap profesional, adil, objektif dan tidak politikal.
"Ini bermakna, semua misi, pelan dan projek yang ingin kita jayakan dalam sektor pendidikan tinggi negara mesti mempunyai beberapa ciri utama," katanya.