Lans Koperal didakwa lupus, subahat curi bukti kes

Iklan
Bob Fuzainey (kanan) bersama Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser berjalan menuju ke bilik Mahkamah Majistret Pasir Puteh.

PASIR PUTEH - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas dakwaan melupuskan keterangan dan bersubahat mencuri barang kes berkait kesalahan ketum pada 10 Januari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Bob Fuzainey Hazoni, 41, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohammad Nazri Abdul Rahim.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama dua yang masih bebas didakwa menyebabkan keterangan kes tersebut hilang dengan niat melindungi daripada hukuman undang-undang di stor barang kes Balai Polis Cherang Ruku di sini antara jam 3 pagi hingga 4 pagi.

Bagi dakwaan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Iklan

Pada pertuduhan kedua, tertuduh didakwa bersubahat bersama-sama dua lelaki yang masih bebas, mencuri di stor barangan kes balai polis sama pada masa dan tarikh yang sama.

Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Iklan

Hukuman bagi Seksyen 457 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

Pada prosiding itu, Siti Asma’a menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh namun Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser memohon jumlah itu dikurangkan bagi pihak anak guamnya dengan alasan tertuduh mempunyai banyak tanggungan.

"Tertuduh ada isteri dan empat anak berusia antara setahun hingga 14 tahun, tiga daripada mereka bersekolah. Dia juga menjaga ibu dan bapa yang menghidap sakit jantung.

"Ikat jamin bertujuan sebagai jaminan supaya tertuduh hadir ke mahkamah dan tidak boleh berlebihan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM7,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac ini dan tertuduh membayar jaminan tersebut.