SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mempersoalkan sama ada pelantikan ahli keluarga pemimpin negara ke sesuatu jawatan akan menjadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan ketika ini.
Ahli Parlimen Putrajaya itu mengaitkan pelantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan oleh bapanya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Iklan
Iklan
Malah menurut bekas Menteri Pendidikan itu, ada juga pihak yang berpandangan pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ke jawatan berkenaan tidak salah.
"Ada yang menyatakan bahawa Nurul Izzah bukan terima gaji sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada ayahnya di Kementerian Kewangan. Jadi, apa salahnya.
"Adakah ini akan menjadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan?” soalnya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Terdahulu media melaporkan, tindakan Anwar yang juga Presiden PKR melantik 'Puteri Reformis' itu sebagai penasihat beliau tanpa hebahan menerima pelbagai reaksi dan kecaman.
Malah berita itu diketahui setelah Nurul Izzah mengesahkannya dalam satu temu bual bersama sebuah media tempatan.