SUNGAI SIPUT - Kerajaan Sweden digesa untuk mengambil tindakan terhadap ahli politik haluan kanan Sweden, Rasmus Paludan yang telah mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Ketua MIC Cawangan Sungai Reyla, K Mani Maran berkata, perbuatan Rasmus Paludan membakar al-Quran disifatkan melampaui batas moral apabila tidak menghormati kehidupan beragama.
"Bantahan sesuatu pihak terhadap mana-mana negara tidak seharusnya menjadikan agama sebagai sasaran.
"Kami dengan sebulat suara mengutuk sekeras-kerasnya terhadap perbuatan membakar al-Quran," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Mani Maran bersama wakil Persatuan Sahabat Sungai Siput dan Persatuan Kuil Sri Mahamariaman turut membuat laporan polis mengutuk tindakan membakar al-Quran itu di Balai Polis Sungai Siput di sini.
Menurutnya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu mengambil langkah sewajarnya bagi membendung perkara ini agar tidak berulang lagi.
21 Januari lalu, Paludan merupakan pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran.
Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).