IPOH - Orang ramai terutama ahli keluarga diminta tidak khuatir dengan perkembangan jangkitan Influenza A H1N1 di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) yang dilaporkan berlaku sejak minggu lalu.
Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar Negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, pihak sekolah bersama Jabatan Pendidikan Negeri mempunyai keupayaan dan kemampuan mengendalikan situasi itu memandangkan kes sama pernah berlaku pada 2017.
"Kali ini skalanya lebih kecil dan hanya berlaku di sekolah ini sahaja, tambahan pula ia bukan satu wabak yang teruk, cuma untuk sebuah sekolah berasrama penuh memang kita perlu berjaga-jaga.
"Keadaan sekarang walaupun mereka masih belum bebas sepenuhnya dari jangkitan, keadaan adalah terkawal dan tidak membimbangkan, sekolah ada pengalaman cukup untuk menguruskannya," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan pelajar yang diisolasi di sekolah berkenaan, hari ini.
Hadir sama, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Perak, Mat Jaafar Mat Zin.
Sejak gejala itu dilaporkan 13 April lalu hingga hari ini, seramai 101 pelajar disahkan telah dijangkiti.
Daripada jumlah itu, 22 pelajar diisolasi di asrama sekolah sementara lainnya telah dibawa pulang keluarga masing-masing.
Abdul Aziz berkata, kemungkinan jangkitan wabak itu bukan berpunca dari sekolah kerana terdapat mangsa terawal mengalami gejala itu selepas menjalani aktiviti luar.
Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada sebarang maklumat atau laporan daripada Jabatan Kesihatan mengenai status jangkitan itu di seluruh negeri.
"Pelajar-pelajar ini ada yang datang dari jauh termasuk Sabah, jadi kita faham kebimbangan ibu bapa, lagi-lagi terdapat beberapa posting di media sosial yang beri gambaran negatif mengenai isu ini. Kita beri jaminan pelajar-pelajar ini dijaga dengan baik," katanya.