Kes Sulu: Mahkamah Luxembourg tarik balik perintah sekatan

Iklan
Azalina pada sidang media selepas Bengkel Reformasi Institusi bersama Kementerian/Jabatan dan CSO/NGO Tahun 2023 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) pada Selasa. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Mahkamah di Luxembourg membuat keputusan menarik balik perintah sekatan 'saisie arrêt' dimohon oleh individu mendakwa 'waris' kepada Sultan Sulu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan pada 24 Januari lalu di Mahkamah Daerah Luxembourg yang mengetepikan perintah sekatan dipohon kumpulan itu pada 11 Julai 2022.

Iklan
Iklan

Jelasnya, perintah sekatan itu dibuat berasaskan kononnya Keputusan Muktamad atau ‘Final Award’ dan Keputusan Awal didakwa dikeluarkan penimbang tara dilantik secara tidak sah, Dr Gondoza Stampa, masing-masing pada 28 Februari dan 25 Mei tahun lalu serta Perintah Exequatur secara ex parte pada 18 Mei 2022, yang mengiktiraf keputusan di Luxembourg.

Azalina berkata, Malaysia sedang mengambil tindakan untuk mencabar Perintah Exequatur yang dikeluarkan secara ex-parte tersebut di Mahkamah Rayuan Luxembourg.

Iklan

"Malaysia telah dengan serta-merta membuat permohonan kepada Mahkamah Luxembourg untuk mendapatkan relif interim supaya penahanan tersebut dilepaskan. Pendengaran bagi permohonan tersebut telah berlangsung pada 5 Disember 2022 di Mahkamah Luxembourg.

Sebelum ini, Dr Stampa dilaporkan memberikan 'award' kepada penuntut sebanyak AS$14.92 bilion (RM63.34 bilion).

Iklan

Azalina berkata, Mahkamah mendapati tindakan Penuntut untuk tidak mendedahkan alamat sebenarnya adalah sesuatu yang penting dan telah menghalang penyampaian dokumen serta penguatkuasaan keputusan mungkin dikeluarkan terhadap Penuntut.

Tambah beliau, menurut Mahkamah, tindakan Penuntut tersebut adalah suatu"kesusahan yang jelas” menjejaskan Malaysia.

"Penuntut telah secara konsisten menggunakan tipu daya dalam tuntutan mereka terhadap Malaysia. Oleh itu, adalah tidak mengejutkan permohonan Penuntut telah gagal di peringkat awal,” ujarnya.

Azalina berkata, Kerajaan Malaysia tidak akan berhenti berusaha melindungi dan memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa serta terus mengambil segala tindakan perlu bagi menghentikan tuntutan palsu Penuntut.