Perlu solusi bendung kenyataan sensitif di media sosial

Iklan
Asrullah Affendi

KUANTAN - Kerajaan perlu memantau dan mencari solusi khusus bagi mengawal sebarang bentuk penyiaran berbaur perkauman, penghinaan, keganasan dan perkara-perkara negatif lain terutama melalui media sosial.

Ketua Penerangan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan, Asrullah Affendi Abdullah berkata, jika ia tidak disekat lebih awal, dikhuatiri kenyataan tidak bertanggungjawab ini akan terus berlaku sehingga tidak terkawal dan melibatkan isu yang lebih sensitif.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebimbangan itu ada asasnya apabila hari ini, ada yang mula berani memuat naik kenyataan atau sebarang bahan siaran menyentuh hal-hal sensitif termasuk isu kaum, agama malah berlaku penghinaan terhadap institusi diraja secara terangan.

"Tidak salah kita menyuarakan pandangan tetapi biarlah secara berhemah menggunakan akal yang waras untuk perkara-perkara kebaikan.

Iklan

"Tidak perlulah kita menyentuh perkara yang tidak ada kena mengena dengan kehidupan seharian semata-mata mencari populariti murahan sehingga menimbulkan resah dan kemarahan banyak pihak,” katanya.

Asrullah Affendi berkata, dengan adanya tindakan lebih tegas dan berkesan, ia mampu memberikan kesedaran dan didikan kepada rakyat serta generasi akan datang supaya lebih bertanggungjawab dan menjaga keharmonian serta keamanan negara yang dikecapi sejak sekian lama.

Iklan

"Kita tidak mahu ada lagi yang terus bermain dengan isu sensitif terutama perkara-perkara yang membawa penghinaan kepada Islam dan institusi raja seperti yang dilakukan pengendali sebuah akaun Facebook yang membuat hantaran jelik menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beberapa hari lalu.

"Kami di MBFM Wilayah Kuantan mengutuk perbuatan itu yang jelas menghina Yang di-Pertuan Agong dan pengkhianatan kepada raja serta negara,” katanya.

Beliau berkata, mereka seolah-olah semakin berani dengan menyiarkan dan memuat naik kenyataan yang tidak mempunyai moral dan langsung tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong sebagai tunggak utama negara Ini.

"Penghinaan sebegini terlalu prejudis dan kurang ajar tanpa memikirkan keseimbangan hak bersuara yang perlu diketahui rakyat sehingga Yang di-Pertuan Agong dijadikan bahan hinaan.

"Institusi diraja perlu dihormati semua rakyat negara Ini. Sama ada kita suka atau tidak ia telah termaktub dalam perlembagaan negara,” katanya.

Beliau berkata, MBFM Wilayah Kuantan juga menggesa pihak berkuasa sentiasa bertindak tegas dalam menangani isu-isu sebegini agar keluhuran perlembagaan dan semangat kesetiaan kepada raja dan negara dijaga sebaiknya.