SELANGAU - Seramai 161 penghuni Rumah Umpang, Ulu Bauh Chelum dekat sini tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu.
Sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dengan sebuah jentera serta kenderaan pacuan empat roda digerakkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan jam 9.59 malam.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan terbabit mendapati rumah panjang setingkat 25 pintu jenis tidak kekal itu telah musnah sepenuhnya.
"Jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan tersebut kerana laluan yang sempit. Pasukan Bomba memunggah pam dan peralatan ke dalam kenderaan pacuan empat roda dan bergerak ke lokasi sejauh lebih kurang lima kilometer melalui jalan tanah yang sempit.
"Operasi pemadaman menggunakan sumber air dari anak sungai yang berdekatan sehingga operasi ditamatkan pada jam 3.05 pagi,” katanya.
Sementara itu Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak Tiong Ling Hii berkata empat rumah panjang di Sarawak telah terbakar sejak awal tahun ini dan mengakibatkan 798 mangsa hilang tempat tinggal, seorang rentung manakala dua orang melecur.
"Dalam tempoh lima hari ini sahaja sebanyak tiga buah rumah panjang telah terbakar,” jelasnya.
Menurutnya, rumah panjang pertama terbakar di Sarawak bagi tahun 2019 ialah Rumah Buyong, di Betong tetapi tiada kerosakan teruk kerana api sempat dipadamkan oleh penghuni.
Kebakaran kedua ialah pada 14 April melibatkan Rumah Chandi di Sungai Tau, Selangau yang mengakibatkan 230 penghuni terjejas termasuk seorang mangsa kelainan upaya (OKU) rentung manakala seorang lagi cedera.
Beliau berkata sehari selepas itu, 407 penghuni Uma Bawang di Skim Penempatan Semula Sungai Asap, Belaga hilang tempat tinggal apabila dua blok rumah panjang musnah dalam kebakaran.
Dalam kejadian itu seorang wanita warga emas melecur di bahagian belakang.- Bernama