PELANTIKAN Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diketahui umum pada Ahad menimbulkan polemik baharu dalam pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Anwar.
Ini kerana pelantikan Nurul Izzah dilihat tidak berapa kena dengan imej cuba ditonjolkan Anwar dalam pentadbirannya yang begitu lantang menentang amalan seperti rasuah dan salah guna kuasa serta mementingkan ketelusan.
Turut menimbulkan persoalan apabila lantikan yang berkuat kuasa 3 Januari lalu itu tidak diumumkan secara formal dan terbuka kepada masyarakat umum, tidak seperti lantikan beberapa pegawainya sebelum ini.
Ia sebaliknya hanya diketahui umum melalui temu bual dilakukan Nurul Izzah bersama sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.
Menyentuh mengenai isu salah tadbir urus, dua elemen sering dikaitkan dengan gejala tersebut adalah amalan kronisme dan nepotisme.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, nepotisme bermaksud perbuatan atau amalan yang mementingkan atau melebihkan sanak-saudara dan kawan-kawan sendiri.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkataan tersebut, kamus dalam talian Cambridge Dictionary memberikan maksud nepotisme sebagai tindakan menggunakan kuasa atau pengaruh untuk mendapatkan pekerjaan atau menyediakan kelebihan untuk ahli keluarga sendiri.
Mengulas mengenai perkara tersebut pada Ahad, Anwar menjelaskan bahawa pelantikan anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan itu dilakukan tanpa sebarang elaun.
Mengenai isu tahap kelayakannya pula, beliau berkata, Nurul Izzah memiliki kelulusan dalam bidang dasar awam berkaitan politik, ekonomi dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat selain memiliki ijazah pertama dalam kejuruteraan.
Untuk rekod, selain pernah menjadi ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Nurul Izzah juga terlibat dalam kajian mengenai isu kemiskinan di peringkat kawasan Parlimennya dan pemerkasaan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Anwar diyakini mempunyai sebab tersendiri dengan pelantikan berkenaan.
Bagaimanapun Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, beliau perlu mendapatkan maklum balas daripada Anwar sendiri berkaitan pelantikan tersebut sebelum boleh untuk mengulas lanjut.
Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim pula menyifatkan bahawa walaupun pelantikan Nurul Izzah itu sah di sisi undang-undang, ia adalah tindakan salah jika dinilai secara moral.
Jelasnya, meskipun khidmat yang bakal diberikan adalah berbentuk pro bono atau tanpa bayaran, namun ia bukan alasan untuk menghalalkan amalan nepotisme dalam kepimpinan.
Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, pelantikan Nurul Izzah ke jawatan tersebut disifatkan sebagai tidak wajar kerana ia membawa kepada isu berkaitan konflik kepentingan.
Mengambil contoh kepimpinan di negara jiran, beliau berkata, jawatan penasihat kanan ekonomi seharusnya diberikan kepada individu yang tidak memiliki sebarang ikatan kekeluargaan.
Tambahnya, jawatan penasihat kanan itu sebenarnya boleh diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Jelas Syahir, perkara tersebut adalah lebih baik memandangkan Anwar kini merupakan antara pemegang taruh kepada nilai integriti dalam pentadbiran kerajaan.
Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mempersoalkan sama ada pelantikan ahli keluarga pemimpin negara ke sesuatu jawatan bakal menjadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan ketika ini.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Tarik balik lantikan, pro bono bukan alasan halalkan nepotisme'
ARTIKEL BERKAITAN: Lantik anak, isteri bakal jadi kebiasaan baharu - Mohd Radzi
ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Izzah perlu ada latar belakang khusus sebagai penasihat
ARTIKEL BERKAITAN: Pelantikan Nurul Izzah undang perdebatan di media sosial
ARTIKEL BERKAITAN: Pelantikan Nurul Izzah tak wajar, bawa konflik kepentingan
ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Izzah layak dilantik Penasihat Ekonomi, Kewangan - Anwar
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Nurul Izzah tidak dibayar elaun - Anwar
ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman, bakat Nurul Izzah dapat bantu bangunkan negara
ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Izzah dilantik Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM