Lelaki maut kenderaan dipandu rempuh lori

Iklan
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit. - Gambar Ihsan Bomba

PEKAN - Seorang lelaki maut selepas lori ais dipandunya merempuh belakang sebuah lori lain di Kilometer 32, Jalan Pekan-Nenasi di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.50 pagi itu, mangsa, Sharif Saidin, 40, dari Felda Keratong 8, Bandar Tun Abdul Razak yang tersepit di dalam kenderaannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, pemandu sebuah lagi lori, Zakaria Ismail, 50, dan anaknya Muhammad Shahrul Izat, 20 (kelindan) dari Kampung Tebakang, Bukit Payung, Marang, Terengganu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan menghantar ais dari arah Kuantan menghala ke Rompin.

Iklan

"Manakala lori 10 tan tanpa muatan yang dipandu Zakaria sedang berhenti di bahu jalan sebelah kiri arah yang sama.

"Ketika sampai di lokasi, lori ais terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan lalu merempuh belakang lori yang sedang berhenti itu,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, akibat rempuhan, mangsa tersepit dalam kenderaannya yang remuk sebelum dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan memaklumkan, tujuh anggotanya dari balai Bomba Nenasi ke lokasi bagi bantuan menyelamat selepas dihubungi.

"Mayat mangsa tersepit berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.