KOTA BHARU - Bermula sebagai pengumpul setem dan syiling lama pada zaman kanak-kanaknya, Mohd Aman Daiman Ismail, 36, kini turut mengumpul tempayan antik.
Mohd Aman mempunyai kira-kira 300 tempayan antik berusia lebih 100 tahun dari beberapa negara di dunia.
Menurutnya, antara yang mempunyai nilai serta sejarah tersendiri ialah tempayan naga dari China yang berfungsi sebagai tab mandi di atas kapal dagang dan tempayan bangsawan tempat menyimpan beras masing-masing berusia kira-kira 200 tahun.
Bekas pelajar Kampus Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia Sabah itu turut memiliki beberapa koleksi tempayan budu berusia lebih 100 tahun.
Berkongsi hobinya, beliau berkata, ramai yang menganggap mengumpul barang antik akan 'bertemu' perkara mistik termasuk 'penunggu' barangan itu kerana usianya yang sudah lama.
"Secara peribadi, saya tidak bimbang dengan situasi itu kerana perkara utama ialah perlu mendapatkan barangan yang sudah berkenan di hati.
"Alhamdulillah, dengan izin ALLAH SWT, sehingga kini belum ada sebarang kejadian pelik dan saya selalu berdoa supaya dijauhkan daripada situasi itu," katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Pecah Limbat, Kok Lanas, di sini.
Bercerita mengenai tab mandi yang diambil dari Negeri Sembilan, kata Mohd Aman, agak sukar untuk membawa pulang tab itu kerana besar dan berat tetapi dia tidak berputus asa dan telah dibantu beberapa individu lain.
Jelas Mohd Aiman yang juga seorang usahawan memberitahu, minat mengumpul barang antik membolehkannya bertemu ramai peminat sama di seluruh negara dan saling bertukar pendapat.
Sejak tahun 2019, peniaga itu turut mempunyai wakil dari seluruh daerah di Kelantan dan Terengganu yang akan memaklumkan kepadanya jika mereka menemui barang antik terutama tempayan naga.
Ceritanya lagi, sejak kecil beliau tinggal bersama neneknya di Kampung Beris Kubor Besar, Bachok dan selalu bertemu syiling Jepun dan syiling empat segi dalam pasir.
"Bermula dari situ, ketika berusia 13 tahun saya mula mengumpul syiling dan kini mahu mengembangkan minat dengan mempunyai lebih banyak koleksi barang antik termasuk kaca, pasu dan barangan lain.
Antara barangan antik yang sukar didapati menjadi koleksi Mohd Aman ialah kapak antik, penyiram bunga dan pasu porselin yang kebanyakannya berasal dari China, Singapura dan Indonesia.
Mohd Aiman juga bertuah kerana minatnya mendapat sokongan isteri, Tuan Nur Azwa Tuan Hussain, 30, yang menjadi tulang belakangnya untuk menyiapkan galeri barangan antik.
"Galeri itu sudah 70 peratus siap dan akan turut mempamerkan warisan Kelantan iaitu batik," katanya.
Tambah Mohd Aiman, kini sudah ramai peminat barangan antik dan mereka sanggup mengeluarkan wang untuk mendapatkannya kerana nilai tinggi pada masa akan datang.
Katanya, ada yang membeli kerana setiap barangan mempunyai nilai sentimental untuk dijadikan kenangan.
"Seorang peminat dari Melaka sanggup membeli tempayan yang saya pecahkan untuk mengeluarkan seekor kucing bunting yang terperangkap di dalamnya," katanya.
Pemilik Treasure Garden itu juga memanfaatkan media sosial seperti TikTok dan WhatsApp untuk bertukar-tukar pendapat dengan rakan dan peminat barangan antik.
"Saya tidak kisah menjadi pengumpul barangan ini kerana ia satu kepuasan yang tidak pernah berakhir," katanya.