KUALA TERENGGANU - Sebanyak 34.4 tan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) berjaya dikutip Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu melalui 34 program pengumpulan yang diadakan di lapan daerah negeri ini sepanjang tahun lalu.
Pengarahnya, Ramli Abd Rahman berkata, jumlah tersebut meningkat hampir sekali ganda berbanding lebih 20 tan e-waste yang dikutip hasil pelaksanaan program pengumpulan dengan kerjasama pelbagai pihak direkodkan pada tahun 2021.
Menurutnya, pada bulan pertama tahun ini, JAS telah mengadakan dua program pengumpulan bagi membantu masyarakat menguruskan e-waste yang rosak dan tidak boleh digunakan lagi dengan betul serta selamat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
"Pada Sabtu lalu, kita berjaya kutip 1.14 tan e-waste hasil program pengumpulan di pasar tani Kuala Berang, Hulu Terengganu yang diadakan dengan kerjasama Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) dan Syarikat KT Wan Recycle.
"Sebelum itu, kita turut mengadakan aktiviti sama pada 4 Januari lalu di Marang sebagai pembuka tirai program tahun 2023 melibatkan hasil kutipan e-waste sebanyak 851 kilogram (kg)," katanya di sini pada Selasa.
Ramli berkata, setakat ini pihaknya menerima maklum balas positif daripada orang ramai yang hadir menyerahkan barangan seperti televisyen, komputer, mesin basuh, pendingin hawa, peti ais, telefon bimbit dan pelbagai barangan elektrik dan elektronik di rumah untuk dilupuskan.
Sehubungan itu katanya, JAS berhasrat untuk mempergiatkan lagi program seumpama itu agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih kerap.
"Pengurusan E-Waste harus dikendalikan oleh syarikat yang mempunyai lesen daripada JAS, ia tidak boleh dilupuskan di tapak biasa kerana kita bimbang sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap alam sekitar.
"Oleh itu, mereka berterima kasih atas usaha seperti ini dalam memastikan pengurusan bahan buangan e-waste dapat dilupuskan di tempat yang betul demi mengekalkan kelestarian alam sekitar di negeri ini," katanya.