Kamaruzzaman enggan ulas Tengku Zafrul bertanding DUN Kota Raja

Iklan
Kamaruzzaman (kiri), Tengku Zafrul (kanan)

Perbincangan mengenai sebarang bentuk kerjasama juga dibuat antara kepimpinan tertinggi dalam Kerajaan Perpaduan

SHAH ALAM - UMNO Bahagian Kota Raja enggan mengulas mengenai khabar angin Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal menjadi calon di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Raja pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari berkata, soal pemilihan calon yang diketengahkan pada pilihan raya diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi parti itu.

Iklan
Iklan

Malah, katanya, perbincangan mengenai sebarang bentuk kerjasama juga dibuat antara kepimpinan tertinggi dalam Kerajaan Perpaduan.

"Setakat ini, kalau dilihat daripada keputusan ketiga-tiga DUN (di Parlimen) Kota Raja (pada pilihan raya lalu), merit kepada PH, jadi saya tidak dapat ulas sebab keputusan dibuat di peringkat tertinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini timbul desas-desus mengaitkan ada usaha membawa Tengku Zafrul bertanding salah satu DUN di Parlimen Kota Raja pada PRN Selangor.

Kamaruzzaman yang juga Setiausaha UMNO Selangor berkata, pelantikan Tengku Zafrul sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Kota Raja dilakukan bagi memperkuat dan menyumbang bakti kepada bahagian berkenaan.

Iklan

"Tengku Zafrul sebelum ini, sudah menjadi ahli UMNO sejak sekian lama, tetapi tidak aktif dan kemudiannya beliau bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15).

"Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri MITI dan kami (UMNO Bahagian Kota Raja) merasakan beliau boleh bekerja dan membantu parti terutama UMNO bahagian ini," jelasnya.

Pada PRU15 lalu, Tengku Zafrul menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Selangor, bagaimanapun tewas dalam pertembungan sengit dengan penyandangnya dari Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.