PUTRAJAYA - Malaysia dan Singapura akan berbincang mengenai keperluan mengadakan Persidangan Meja Bulat Sekuriti Siber Malaysia-Singapura pada setiap tahun dalam usaha mempertingkatkan keselamatan siber.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata perkara itu adalah antara yang akan dibincangkan dalam pertemuannya dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Josephine Teo, yang dijadualkan mengadakan lawatan ke Malaysia pada 4 Februari ini.
Iklan
Iklan
Beliau berkata pertemuan dua hala itu akan turut meneliti beberapa perkara dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Malaysia dan Singapura di republik itu semalam khusus berkaitan keselamatan siber, perlindungan data peribadi dan ekonomi digital.
Beliau berkata, kerjasama yang lebih erat antara agensi berkaitan di kedua-dua negara untuk bersama-sama mengatasi masalah keselamatan siber dan menangani isu sedemikian akan turut dibincangkan.
Antara agensi tersebut ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan pihak kawal selia di Singapura, serta CyberSecurity Malaysia dengan badan yang menjaga aspek keselamatan siber di Singapura.
"Singapura menyuarakan kesediaan untuk kerjasama yang erat serta membawa pelaburan ke Malaysia dan kerajaan akan merancakkan perbincangan dengan negara jiran kita supaya kesan ekonomi dapat dirasai rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini hari ini. - Bernama